
SYAWAL kali ini menyaksikan buat pertama kali juara One in A Million (CSOIAM), Marygrace, menyambutnya di Kuala Lumpur.
Begitupun, menurut Marygrace atau nama sebenarnya, Marygrace Jane C Penserga, 24, dia akan terlebih dahulu beraya di kampung halamannya di Keningau bersama keluarga.
“Selalunya saya akan menyambut raya bersama keluarga di Keningau, tetapi tahun ini agak istimewa kerana saya akan beraya di Kuala Lumpur buat pertama kali.
“Minggu pertama raya saya akan beraya di Sabah, dan minggu kedua barulah saya ke Kuala Lumpur bersama ibu dan adik.
“Jadi, taklah rasa ralat walaupun beraya di Kuala Lumpur kerana ibu dan adik sentiasa bersama,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Mary turut meluahkan rasa syukur apabila menerima banyak undangan persembahan sepanjang raya ini selepas bergelar juara CSOIAM pada Februari lalu.
“Memang banyak undangan sampai saya sendiri bingung dengan jadual. Tetapi, dalam masa terdekat ini, akan ada dua hingga tiga persembahan sempena Hari Raya nanti di Kuching dan Kuala Lumpur.
“Selain itu, ada juga beberapa tawaran daripada syarikat-syarikat berjenama untuk persembahan raya.
“Saya tak sabar untuk ‘update’ showcase yang akan datang kepada peminat sempena raya nanti,” katanya.
Sementara itu, Mary berkata, tahun ini dia tidak kisah berbelanja sakan untuk keluarga, terutamanya ibunya, bagi persiapan raya.
“Alhamdulillah, tahun ini saya ada rezeki lebih untuk membawa keluarga membeli baju raya daripada beberapa jenama terkenal di Kuala Lumpur,” katanya teruja.
Dalam soal juadah pula, penyanyi ini berkata antara hidangan wajib baginya ialah onde-onde, rendang daging, kari ayam, daging masak kicap, dan ayam asam pedas.
Mengenang pengalaman pertama kali menyambut Hari Raya selepas memeluk Islam enam tahun lalu, Mary mengakui ia adalah detik bermakna kerana dapat mempelajari banyak perkara daripada ahli keluarga.
“Walaupun ada kesilapan dan sudah lama tidak berjumpa pada tahun tersebut, Hari Raya menjadi momen istimewa apabila semua ahli keluarga berkumpul, bermaafan, dan mengeratkan kembali hubungan.
“Antara kenangan paling berharga adalah apabila hubungan keluarga semakin erat.
“Saya menyaksikan adik-beradik ibu dan makcik-makcik saya kembali berbaik serta meluangkan masa bersama sepanjang raya. Itu momen yang sangat bermakna,” katanya.
Beralih kepada perkembangan seninya, Mary teruja kerana dapat bersatu kembali bersama lima pemenang CSOIAM menerusi lagu raya terbaru Kemas Kemas Raya.
“Lagu ini diberikan oleh Alternate Records, khas untuk semua penyokong kami dan mereka yang menyambut Hari Raya,” katanya.
Selain itu, Mary berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk mempromosikan single Titik Mula dan Kemas Kemas Raya.
“Memang ada perancangan untuk buat lagu baharu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan dahulu kerana jadual seni yang agak padat dengan beberapa ‘show’, temu bual dan kolaborasi.
“Bagaimanapun, dalam tahun ini, Insya-Allah peminat boleh menjangkakan lagu baharu daripada saya hasil ciptaan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda,” katanya.
Ditanya sama ada single itu kelak akan membuka peluangnya untuk melebarkan sayap ke negara jiran, Mary berkata dia menyerahkan segalanya kepada rezeki.
“Bagi saya, ini adalah peluang untuk menimba pengalaman bekerjasama dengan komposer hebat seperti Ade Govinda.
“Tetapi fokus utama saya tetap untuk mencipta nama di Malaysia terlebih dahulu. Insya-Allah, saya percaya pada rezeki,” katanya optimis.
Untuk rekod, hadiah kemenangan RM1 juta Marygrace dalam CSOIAM merangkumi sebuah kereta Peugeot 408 GT, wang tunai RM500,000, kontrak rakaman bersama Alternate Records serta lagu baharu yang akan digubah dan diterbitkan oleh bintang muzik Indonesia, Ade Govinda.




