Rayuan Derma Darah: Target 50 Beg, Tapi Setakat Dua Jam Baru Dapat 4 Beg

25 Dec 2022 • 10:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pusat Darah Negara (PDN) Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang melaksanakan kempen derma darah yang melibatkan 13 lokasi berbeza di pada hari ini dan esok.

Bagi lokasi tumpuan utama yang dikunjungi ramai seperti di sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati, sebanyak 50 beg darah disasarkan PDN untuk sesi hari ini yang bermula pada 11 pagi.

Bagaimanapun difahamkan, hanya empat beg darah sahaja yang mampu diperolehi setakat 1 tengah hari tadi iaitu selepas dua jam kempen bermula.

“Kami menyasarkan 50 beg darah di M3 Shopping Mall, Taman Melati, Kuala Lumpur hari ini.

“Walau bagaimanapun, sehingga jam 1.00 tengah hari, hanya empat beg darah berjaya diperolehi di sini.

“Oleh itu, kepada warga kota yang berada di sekitar lokasi ini, jom bantu kami tingkatkan jumlah kutipan beg darah di lokasi ini,” maklum PDN menerusi hantaran di laman Facebook petang tadi.

Kempen bersambung esok

Sementara itu bagi kempen yang bersambung pada esok, sebanyak 12 lokasi disasarkan iaitu bangunan PDN sendiri di Jalan Tun Razak yang bermula dari 8 pagi hingga 1 petang.

Seterusnya Mid Valley Megamall bermula dari 10 pagi hingga 9 malam dan di Suite Derma Darah PUSPANITA Putrajaya juga bermula pada 10 pagi dan berakhir pada 6 petang.

Bagi 1 Utama pula ia bermula pada 11 pagi hingga 7 petang, Aeon Cheras Selatan bermula 10 pagi hingga 3 petang, diikuti Aeon Rawang bermula 10 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu Lotus Kajang, Mydin Mall Subang Jaya, Mesamall Nilai, M3 Shopping Mall (lokasi yang disebut di awal artikel), Bangi Gateway dan Metro Point Complex Kajang masing-masing bermula 11 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, orang ramai yang berada di lokasi yang terdekat digalakkan membantu dengan menderma darah bagi mereka yang memerlukan.

image is not available
Sumber: PDN KKM