Rayuan dibenar, Najib, Nazifuddin berjaya tangguh prosiding kebankrapan

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 10:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rayuan dibenar, Najib, Nazifuddin berjaya tangguh prosiding kebankrapan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin berjaya dalam permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tigak hakim yang diketuai Datuk Dr Alwi Abdul Wahab selepas membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.

Keputusan hari ini selepas panel telah selesai mendengar hujahan daripada peguam bagi pihak perayu, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dan Peguam Kanan hasil Norhisham Ahmad yang mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada prosiding 3 Julai lalu.

Najib dan Mohd. Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 November 2025 yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) yang mencabar taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh LHDN.

Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan berasingan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya itu bagi tahun taksiran dari 2011 hingga 2017.

LHDN berusaha mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Najib dan Mohd Nazifuddin sebelum ini mencabar penghakiman terus yang dibuat terhadap mereka, namun rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan kemudian di Mahkamah Persekutuan telah ditolak. Susulan itu, notis kebankrapan telah dikeluarkan terhadap kedua-duanya.

Mereka kemudian memohon penangguhan prosiding kebankrapan itu, namun pada 29 Julai 2024, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kamarul Aris Kamalluddin menolak permohonan tersebut.

Najib dan anaknya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi, namun gagal, sekali gus membawa kepada rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan prosiding memandangkan rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin di hadapan SCIT yang mencabar taksiran cukai tambahan itu belum diputuskan secara muktamad.

Beliau berkata, pendengaran kes Najib di hadapan SCIT dijadualkan pada September, manakala kes Mohd Nazifuddin ditetapkan pada Oktober.

Muhammad Shafee berhujah bahawa keputusan rayuan di SCIT akan menentukan secara langsung liabiliti asas perayu bagi taksiran cukai tambahan itu dan sekiranya penangguhan ditolak, rayuan berkenaan akan menjadi sia-sia.

Beliau berkata, sekiranya prosiding kebankrapan diteruskan, Najib berkemungkinan diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu menjelaskan jumlah yang dituntut, sekali gus menjejaskan kedudukan kewangannya.

Sementara itu, Norhisham berhujah bahawa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Najib dikehendaki menyelesaikan hutang cukai sebagai prasyarat, walaupun rayuan sedang berjalan.

Beliau berkata, tiada keadaan khas yang wujud bagi membenarkan penangguhan kerana undang-undang menghendaki cukai berkenaan dibayar tanpa mengira rayuan yang masih berjalan di hadapan SCIT. – KOSMO! ONLINE

The post Rayuan dibenar, Najib, Nazifuddin berjaya tangguh prosiding kebankrapan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved