
SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya tiga tahun lalu.
Hakim Noor Hisham Ismail memutuskan demikian selepas menolak rayuan yang dikemukakan Ismanira, 31, selaku perayu.
Justeru dengan keputusan itu Ismanira kekal dipenjara lima tahun seperti hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Noor Hisyam berkata, tiada kekhilafan yang dibuat Mahkamah Sesyen dalam mengenakan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap Ismanira.
“Mahkamah ini selepas menimbang rekod-rekod rayuan, alasan penghakiman (Hakim Mahkamah Sesyen) dan hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah berpuas hati, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang dalam keputusannya,” kata Hakim Noor Hisham.
Pada masa sama, mahkamah turut menolak rayuan silang pendakwaan berhubung hukuman apabila berpendapat hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap Ismanira adalah memadai.
“Hukuman penjara lima tahun memadai dan ianya tidak berlebihan,” kata Hakim Noor Hisyam.
Dalam prosiding hari ini, Ismanira diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad dan Lavanesh Mahadevan.
Pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr. Syaliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan selain permohonan penangguhan hukuman ditolak.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dihadapi.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Rayuan ditolak, ibu Allahyarham Zayn Rayyan kekal dijel lima tahun appeared first on Kosmo Online.






