Rayuan Pengharaman TikTok Akan Didengari Mahkamah Agung Amerika Pada 10 Januari Depan

TechnologyDigital
19 Dec 2024 • 8:47 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Selasa lalu, TikTok telah meminta Mahkamah Agung Amerika Syarikat (SCOTUS) untuk menangguhkan sementara arahan pengharaman operasi syarikat yang akan berkuatkuasa pada 19 Januari 2025. SCOTUS kini mengatakan rayuan ini akan didengari pada 10 Januari tahun depan.

image is not available

TikTok melakukan rayuan kepada SCOTUS atas dasar pengharaman dilihat melanggar hak kebebasan bersuara lebih 170 juta pengguna TikTok Amerika Syarikat yang termaktub dalam perlembagaan. Turut ditekankan ialah syarikat kecil di A.S akan kerugian pendapatan $1 bilion dan pempengaruh pula $300 juta sehari sekiranya arahan pengharaman diteruskan.

ByteDance menyatakan bahawa penjualan TikTok adalah mustahil kerana ia memerlukan masa bertahun-tahun untuk jurutera baru memahami kod sumber TikTok. Sementara itu China juga menentang penjualan aplikasi kerana ia melanggar undang-undang penjualan algoritma sensitif buatan tempatan.

Sekiranya rayuan ini masih lagi ditolak, aplikasi TikTok perlu dibuang daripada Android Play Store dan Apple App Store. Pemilik stor yang masih menawarkan aplikasi boleh didenda.