
KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Adat Perpatih akan menjadi fokus Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan yang baru dilantik, Datuk Razali Abu Samah.
Ujarnya, Adat Perpatih bukan sahaja perlu diperkenalkan kepada masyarakat negara ini malah kepada orang luar termasuk pelancong asing.
“Ramai pelancong asing yang turut ingin tahu apakah sebenarnya yang unik dalam Negeri Sembilan ini iaitu Adat Perpatih.
“Golongan muda juga perlu diberi pendedahan lebih mendalam mengenai Adat Perpatih bagi memastikan warisan berkenaan terus difahami dan dihayati.
“Program penerangan mengenai Adat Perpatih perlu dirancang untuk diadakan di setiap daerah dengan kerjasama ketua-ketua jabatan.
“Adat Perpatih ini begitu unik dan hendaklah difahami, bukan sahaja diketahui tetapi dihayati dan difahami,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Perpatih Fest 2026: Perkukuh Promosi Warisan Adat Perpatih ke Peringkat Nasional di Muzium Negara di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd. Razaimi Hamat dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd. Gorip.
Razali sementara itu berkata, beliau masih belum menetapkan hala tuju portfolio yang disandangnya itu kerana masih belum memasuki pejabat serta menerima taklimat daripada ketua-ketua jabatan.
Katanya, beliau perlu memahami terlebih dahulu keseluruhan portfolio yang dipertanggungjawabkan sebelum menetapkan sebarang perancangan.
“Saya harus melihat ‘rumah’ saya sendiri dan akan terima apa juga taklimat daripada ketua-ketua jabatan yang berkenaan. Barulah kita boleh rungkaikan misi dan visi kita bersama kepada semua jabatan di bawah saya,” katanya.
Menurut Razali, beliau tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu mendapatkan pandangan serta maklumat daripada ketua-ketua jabatan berkaitan.
Katanya, pendekatan pentadbirannya akan berlandaskan empat perkara iaitu mendengar, melihat, mengkaji dan membuat keputusan.
“Bukan mudah-mudah hendak buat keputusan dan saya menghormati ketua-ketua jabatan untuk mereka memberi taklimat kepada saya. Barulah kita buat satu keputusan secara bersama,” katanya.
Semalam, Razali merupakan antara 10 Exco kerajaan Negeri Sembilan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. – UTUSAN
The post Razali fokus perkasa Adat Perpatih appeared first on Utusan Malaysia.

