
KUALA LUMPUR: Sejarah membuktikan bahawa DAP sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah cuba untuk menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2018.
RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, DAP menghadapi pelbagai fitnah di pilihan-pilihan raya yang dilaksanakan sebelum ini termasuk dakwaan bahawa partinya itu sudah menjual aset-aset TH.
“Hakitkatnya, sebenarnya terutama DAP dalam PH 1.0 telah cuba menyelamatkan TH, ketika itu Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng) yang menjadi Menteri Kewangan telah meluluskan suntikan dana bernilai RM19.9 bilion melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd. (UJSB) untuk memulihkan kedudukan kewangan institusi itu yang mengalami defisit besar.
“Ini adalah bukti, selalunya Bagan dan DAP dituduh, dewan yang mulia ini tahu. Yang Berhormat (YB) Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) baru-baru ini mengatakan DAP bertekad untuk menghapuskan orang Islam dan Melayu. Ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, boleh mencetuskan pelbagai masalah.
“Tetapi sejarah membuktikan sebaliknya, sejarah membuktikan DAP yang menjadi salah satu parti dalam PH 1.0 dan Menteri Kewangan itu adalah Guan Eng, telah cuba menyelamatkan TH,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Rayer berkata, daripada melemparkan tuduhan terhadap DAP, apa yang seharusnya dilakukan adalah mencari jawapan mengapa kedudukan kewangan TH sangat terjejas sebelum ini.
“Tolonglah terutama ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga memfitnah di beberapa tempat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan, mari kita bahaskan.
“Tadi Menteri Agama sudah menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada mana-mana aset TH dijual kepada orang atau syarikat Cina.
“Saya menyeru, kalau kita nak berkawan tolonglah ikhlas. Nak gaduh pun boleh, nak kawan pun boleh,” katanya.-UTUSAN
The post ‘RCI TH membuktikkan DAP difitnah’ appeared first on Utusan Malaysia.






