Reaktor Modular Kecil calon utama teknologi tenaga nuklear, kata Pasukan Petugas Nuklear TNB

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reaktor Modular Kecil calon utama teknologi tenaga nuklear, kata Pasukan Petugas Nuklear TNB

image is not available

03/10/2025 - 11:11

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) semakin giat memperkukuh peranannya dalam sektor tenaga nuklear, dengan syarikat itu menegaskan, tenaga nuklear bukan sahaja berdaya maju sebagai sumber asas masa depan Malaysia, malah turut kompetitif dari segi kos berbanding arang batu dan gas di Asia.

Malaysia menetapkan tahun 2031 sebagai tarikh operasi komersial (COD) berpotensi bagi loji tenaga nuklear pertamanya, dengan lebih 3GW kapasiti disasarkan menjelang 2034.

TNB, yang kini menjadi sebahagian daripada pasukan petugas nuklear kerajaan, sedang menempatkan dirinya untuk berperanan sebagai Pembangun-Pemilik-Pengendali (DOO) bagi projek-projek tersebut sambil melabur dalam kajian persediaan serta pembangunan tenaga kerja.

Kos Kompetitif di Negara Timur

Walaupun kebimbangan sering dibangkitkan mengenai kos modal yang tinggi dan kos tenaga seumur hidup (LCOE) bagi tenaga nuklear, TNB membawa perspektif berbeza, menurut TA Research yang mengadakan sesi perbincangan dengan Pasukan Petugas Nuklear TNB, yang diwakili oleh Dr Mohd Syukri Yahya yang juga Pengarah Institut Tenaga Nuklear UNITEN, baru-baru ini.


image is not available
Dr Mohd Syukri Yahya


Syarikat utiliti negara itu berpendapat purata global cenderung berat sebelah kerana dipacu oleh projek berimpak tinggi di negara Barat, sedangkan kos nuklear di negara Timur jauh lebih rendah.

Mengambil contoh China, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), TNB menekankan, sebahagian besar reaktor baharu yang dibina kini tertumpu di rantau Timur, kebanyakannya berasaskan teknologi China atau Rusia. Keadaan ini mewujudkan skala ekonomi, tenaga kerja mahir dan rantaian bekalan serantau yang lebih kompetitif.

China, yang terkenal dengan keupayaan membangunkan projek mega, turut membuktikan tempoh pembinaan yang lebih singkat berkat sokongan kerajaan yang kukuh serta kos modal yang lebih rendah.

Menurut analisis TNB, loji tenaga nuklear di China mampu mencapai LCOE antara RM269–340 setiap MWh, iaitu setanding dengan arang batu domestik (RM283–392 setiap MWh) dan lebih kompetitif berbanding loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) (RM369–435 setiap MWh).

Ini sekali gus mengukuhkan pendirian TNB bahawa tenaga nuklear boleh menjadi sumber tenaga asas rendah karbon yang mampu milik dan boleh dipercayai, terutamanya ketika kapasiti arang batu mula dihentikan secara berperingkat.

Opsyen Teknologi dan Garis Masa Pembangunan

TNB mengesahkan pasukan petugas masih menilai pilihan teknologi dan rakan reaktor, dengan Reaktor Modular Kecil (SMR) serta Loji Tenaga Nuklear Terapung (FNPP) antara calon utama bagi projek pertama negara.

Tidak seperti reaktor besar tradisional, teknologi modular ini boleh mempercepatkan pembangunan dengan mengurangkan fasa kajian di bawah Pendekatan Milestone IAEA, sekali gus menjadikan COD 2031 sebagai sasaran yang munasabah walaupun projek nuklear lazimnya memerlukan 10–15 tahun untuk disiapkan.

Malaysia juga memiliki pengalaman terdahulu yang menjadi kelebihan:

  • Lapan tahun persediaan di bawah Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) semasa pentadbiran Najib Razak.

  • 44 tahun mengendalikan reaktor penyelidikan melalui Agensi Nuklear Malaysia.

  • 80 tahun kepakaran TNB sendiri dalam penjanaan tenaga dan pengurusan grid.

Loji kedua, dengan kapasiti 3GW menjelang 2034, dijangka menggunakan reaktor besar yang dibina khusus di tapak, memerlukan tempoh pembangunan lebih panjang dan perlu mematuhi sepenuhnya keperluan IAEA.

Tapak berpotensi sudah dikenal pasti, dengan kriteria utama termasuk berhampiran badan air besar (untuk tujuan penyejukan) serta berada di atas batuan dasar yang kukuh demi keselamatan dan kestabilan.

Persediaan TNB

Sejak 2023, TNB telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan nuklear, termasuk peta jalan nuklear, kajian penentuan tapak dan pembentangan kertas pendirian bertajuk “Realising Net Zero 2050: Position Paper on Nuclear Technology Development” kepada Majlis Tenaga Negara (MTN) pada 2024.

Pada April 2025, TNB menubuhkan Pejabat Pengurusan Projek Nuklear untuk menyelaras persediaan dari segi pembiayaan, teknologi, peraturan dan penglibatan pihak berkepentingan, selain melancarkan Fasa 2 kajian penentuan tapak.

Kini, bersama Petronas, TNB menyertai tiga daripada enam pasukan petugas kerajaan, meliputi teknologi, pemilihan tapak dan pembangunan projek, manakala kumpulan lain memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi, rangka kerja undang-undang dan peraturan, kesiapsiagaan infrastruktur, libat urus awam, kesan alam sekitar serta integrasi ke dalam campuran tenaga negara.

Pengganti Arang Batu, Sokongan kepada Tenaga Boleh Diperbaharui

Cabaran besar menanti Malaysia apabila 12GW kapasiti arang batu, yang kini menyumbang 61% daripada campuran penjanaan, akan dihentikan sepenuhnya menjelang 2044, dengan lebih separuh dijadualkan ditamatkan antara 2029 dan 2033.

Tanpa nuklear, negara berisiko meningkatkan kebergantungan kepada gas import bagi menampung keperluan tenaga serta menguruskan turun naik tenaga boleh diperbaharui.

TNB menegaskan tenaga nuklear adalah pilihan berdaya tahan untuk memastikan keselamatan tenaga, kemampuan bayaran serta kelestarian.

Tiga pertama utama

TA Research berkata pertemuan dengan Pasukan Petugas Nuklear TNB mengesahkan tiga perkara utama:

  • TNB adalah calon kukuh untuk menerajui projek nuklear pertama Malaysia.

  • SMR kekal sebagai antara teknologi paling berpotensi untuk pelaksanaan awal.

  • Nuklear sesuai dijadikan pengganti tenaga asas menjelang tamatnya kapasiti arang batu mulai 2029.

“Walaupun masih di peringkat awal, peralihan daripada arang batu kepada nuklear membuka peluang penambahan kapasiti baharu kepada TNB, sementara kos modal yang besar mewujudkan halangan kemasukan tinggi untuk pesaing lebih kecil,” kata firma penyelidikan itu.

TA Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap TNB dengan harga sasaran berasaskan DCF sebanyak RM15.80 (WACC: 7%, TG: 2%), sambil melihat pembangunan nuklear sebagai pemangkin jangka sederhana dan panjang kepada syarikat utiliti itu, seiring dengan usaha nyahkarbon dalam portfolio penjanaannya.

Dalam jangka terdekat, TNB dijangka kekal sebagai penerima manfaat utama peralihan tenaga menerusi peningkatan perbelanjaan grid bagi menyokong tenaga boleh diperbaharui, selain permintaan tinggi daripada pusat data yang terus berkembang. - DagangNews.com

featured standard