KOTA BHARU - Aktiviti pembalakan di Kelantan yang didakwa terkawal tidak mencerminkan realiti sebenar di lapangan apabila projek ladang hutan yang menggunakan kaedah tebang habis atau 'cuci mangkuk' memberi kesan lebih besar kepada alam sekitar, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani.
Menurut beliau, hal ini kerana timbul kekeliruan apabila istilah 'pembalakan' sering disempitkan kepada Catuan Tebangan Hutan Tahunan (CTT) semata-mata.
Ujarnya, bagi masyarakat setempat, pembalakan merangkumi semua bentuk penebangan hutan termasuk projek ladang hutan yang dilaksanakan secara besar-besaran.
"Kerajaan negeri dilihat hanya menumpukan kepada data CTT untuk menggambarkan kononnya aktiviti pembalakan terkawal.
"Sedangkan hakikatnya, kelulusan projek ladang hutan jauh lebih besar dan memberi impak yang lebih signifikan kepada alam sekitar," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Mohd Azmawi Fikri memberitahu, merujuk kepada Laporan Audit Negara 2021 Siri 2 yang menunjukkan keluasan CTT adalah lebih rendah berbanding kawasan ladang hutan yang diluluskan secara agresif.
Kata beliau, data menunjukkan ketidakseimbangan ketara antara kawasan ditebang dan usaha penanaman semula, dengan kadar penanaman semula kurang daripada 30 peratus.
"Pada tahun 2021, sebanyak 6,038 hektar ladang hutan diluluskan berbanding hanya 1,277 hektar CTT. Trend sama berterusan apabila lebih 5,700 hektar diluluskan pada 2024 dan lebih 4,300 hektar pada 2025.
"Ini menunjukkan impak sebenar terhadap hutan jauh lebih besar daripada yang digambarkan," ujarnya.
Menurut beliau, lebih membimbangkan projek ladang hutan berkenaan didakwa tidak sepenuhnya mematuhi Sistem Pengurusan Hutan Secara Memilih (SMS) sebaliknya menggunakan kaedah tebang habis atau 'cuci mangkuk'.
"Kaedah ini memberi kesan besar kepada struktur hutan, biodiversiti dan keseimbangan ekosistem.
"Perbezaan ketara antara data rasmi dan keadaan sebenar itu menimbulkan persoalan terhadap tahap ketelusan dalam pengurusan sumber hutan di negeri berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan penilaian semula dibuat dengan mengambil kira keseluruhan aktiviti penebangan hutan agar impak sebenar terhadap alam sekitar dapat dinilai secara menyeluruh.
Ujarnya, jika tidak ditangani segera, kerosakan yang berlaku mungkin sukar dipulihkan.

