
PETALING JAYA: Kumpulan muzik Indonesia, Reality Club bakal mengadakan konsert istimewa sempena ulang tahun ke-10 perjalanan muzik mereka di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November ini.
Penganjur, POST dan Katarsis Live berkata, Reality Club dikenali menerusi karya indie seperti Is It The Answer? dan Alexandra, selain menghasilkan katalog lagu yang mengangkat kisah cinta, kerinduan serta proses membesar.
Katanya, pengaruh kumpulan itu semakin kukuh menerusi album studio ketiga, Reality Club Presents, yang memperluaskan warna muzik mereka dengan gabungan pelbagai genre serta naratif dan karakter tersendiri bagi setiap lagu.

“Tahun lalu menjadi titik perubahan penting buat Reality Club apabila pada Jun, kumpulan ini berjaya mengadakan persembahan ulang tahun yang habis terjual di Jakarta sebelum menandatangani kontrak bersama Suneater.
“Suneater merupakan label muzik Indonesia yang menaungi beberapa nama penting dalam dunia muzik bebas negara tersebut. Persembahan di Kuala Lumpur hadir dengan momentum tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut penganjur, persembahan berkenaan dirangka khas sempena ulang tahun ke-10 Reality Club dengan susunan semula katalog lagu mereka bagi membentuk sebuah set persembahan istimewa.
“Para peminat boleh menjangkakan untuk menyaksikan Reality Club dalam sebuah persembahan yang berbeza daripada apa yang pernah mereka saksikan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, peminat di Malaysia dijemput bersama-sama meraikan detik penting perjalanan Reality Club menerusi lagu-lagu yang menjadi runut bunyi kepada pelbagai kenangan dalam kehidupan mereka.
Tiket pra-jualan dibuka pada Isnin, 31 Ogos, manakala jualan umum bermula 2 September ini menerusi laman sesawang Ticketmelon.
The post Reality Club raikan sedekad berkarya di Kuala Lumpur November ini appeared first on Utusan Malaysia.
