Realme 13 5G dan 13+ 5G Dilancarkan Di Malaysia – Harga Bermula RM1199

TechnologyDigital
17 Oct 2024 • 3:20 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Realme melancarkan dua telefon pintar baharu Realme 13 5G dan Realme 13+ 5G di Malaysia hari ini. Kedua-duanya tiba hanya beberapa minggu selepas siri Realme 13 Pro dilancarkan di Malaysia. Dari segi rekaan terdapat persamaan dengan siri 13 Pro tetapi model yang dilancarkan hari ini mempunyai spesifikasi yang lebih rendah bagi membolehkan ia dijual pada harga yang lebih mampu milik.

image is not available

Realme 13+ merupakan telefon dengan skrin 6.67″ AMOLED 120Hz, dijana dengan cip Mediatek Dimensity 7300 setakat ini. Ia juga dilengkapi pilihan memori 12GB RAM, storan dalaman mencapai 512GB dan bateri sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP (sensor Sony LYT-600) dan kedalaman 2MP sementara kamera swafoto pula sebesar 16MP. Kesemua ciri disebutkan telah dimuatkan ke dalam tubuh peranti yang kalis air IP65, speaker stereo dan bicu audio 3.5mm. Peranti turut hadir dengan sistem NFC dan juga pengimbas cap jari terbina bawah skrin.

image is not available

Realme 13 pula menggunakan skrin sebesar 6.72″ IPS LCD 120Hz, dijana cip Dimensity 6300, memori 12GB RAM, storan 256GB dan bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 45W. Selain itu telefon juga mempunyai sistem kamera utama 50MP + 2MP (kedalaman) dengan OIS dan swafoto sebesar 16MP. Tubuh telefon ini juga melepasi piawaian kalis air serta debu IP64, dilengkapi speaker stereo, NFC dan bicu audio 3.5mm.

image is not available

Realme 13+ 5G dijual pada harga RM 1399 untuk versi 12/256GB dan RM1799 untuk versi 12/512GB. Sepanjang tempoh 19 Oktober hingga 18 November, Realme 13+ 5G dengan storan 512GB boleh dibeli pada harga promosi RM1699. Pembeli juga menerima hadiah percuma dalam bentuk Techlife Wireless EarBuds, jaminan 730 hari dan jaminan skrin retak 365 hari bernilai RM799 secara percuma.

image is not available

Sementara itu Realme 13 5G pula dijual bermula 1 November pada harga RM1199 (12/256GB). Sepanjang tempoh 1-30 November pembeli akan menerima jaminan 730 hari dan jaminan skrin retak 365 hari bernilai RM449 secara percuma.