
PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan punca bil elektrik pengguna meningkat secara mendadak.
TNB berkata, AFA yang diperkenalkan sejak 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bukan caj tambahan baharu, sebaliknya menggantikan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass-Through’.
Menurutnya, AFA merupakan mekanisme dua hala yang berfungsi mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing serta tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB.
“Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati kadar rebat dan jumlah penjimatan dipulangkan terus ke dalam bil elektrik.
“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TNB berkata, sejak AFA diperkenalkan, pengguna menerima RM3.1 bilion dalam bentuk rebat berbanding surcaj sebanyak RM800 juta.
Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
Dalam pada itu, TNB memaklumkan kadar AFA bagi September ini ditetapkan pada +3.67 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj).
Bagaimanapun, pengguna domestik dengan penggunaan 600kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA selain tidak dikenakan cukai perkhidmatan lapan peratus serta Caj Peruncitan.
“TNB ingin menjelaskan bahawa AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik.
“Faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah mempengaruhi pola penggunaan peralatan elektrik di rumah sekali gus memberi kesan kepada bil bulanan,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna disaran memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB, mengamalkan kecekapan tenaga serta menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius.
Pengguna juga boleh beralih kepada pelan Time of Use (TOU) untuk menikmati kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak atau mempertimbangkan pemasangan solar bumbung bagi mengurangkan kos elektrik.
TNB berkata, pihaknya kekal komited memastikan setiap bil elektrik yang dibayar pengguna mencerminkan kos sebenar, selain menegaskan pengguna domestik terus dilindungi menerusi ambang penggunaan 600kWj dan ke bawah sebulan. – KOSMO! ONLINE
The post Rebat AFA kepada pengguna RM3.1 bilion sejak 1 Julai 2025 – TNB appeared first on Kosmo Online.



