
Kota Kinabalu: Peminjam Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif rebat menarik melalui pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos.
Menurut kenyataan pada Khamis, program ini adalah inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited dalam membayar balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan.
Melalui program ini peminjam ditawarkan kadar rebat yang lebih menarik mengikut pelbagai kategori bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan tanggungjawab mereka untuk membuat pembayaran balik pinjaman pengajian sekali gus menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.
Peminjam yang layak di bawah kategori Aktif Bayar dan berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka akan menerima rebat 30 peratus.
Mereka yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman tetapi tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar akan menerima rebat 25 peratus.
Sementara itu, peminjam yang terus membuat pembayaran secara ansuran biasa akan menikmati rebat 20 peratus.
Program itu susulan kejayaan inisiatif rebat pada tahun lalu, yang memberi impak positif terhadap peningkatan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk menunaikan tanggungjawab mereka berdasarkan pencapaian jumlah kutipan pinjaman pengajian tertinggi iaitu RM8 juta sejak Yayasan Sabah ditubuhkan.
Pemberian rebat itu juga merupakan sebahagian daripada program sosial korporat Kumpulan Yayasan Sabah untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh peminjam.
Yayasan Sabah berkata pemberian kadar rebat yang lebih tinggi kepada pembayar aktif juga adalah sebagai tanda penghargaan di atas dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan.
Sejajar dengan peluncuran program ini, kaunter khas akan dibuka bagi membantu peminjam yang berminat untuk turut serta.
Jelajah pertama akan diadakan di Foyer Bilik Kapalai & Manukan, Aras 2, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada 6 Ogos dari 9 pagi hingga 3 petang, disusuli sesi kedua di Lintasan Deasoka di sini pada 8 Ogos dari jam 5 petang hingga 10 malam.
Jelajah kedua dijadualkan pada 15 dan 16 Ogos di Tapak Tamu Papar dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang manakala jelajah ketiga akan diadakan di Tapak Tamu Kota Belud pada 22 dan 23 Ogos 2026 pada waktu sama.
Sebagai salah satu manifestasi keprihatinan, Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan program pengampunan CTOS.
Melalui program ini, peminjam ingkar yang telah disenaraikan dalam CTOS boleh memohon untuk dikeluarkan daripada senarai dengan membayar balik pinjaman tertunggak dalam jumlah yang munasabah.
Program berbentuk pengampunan ini diharap dapat meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan daripada senarai CTOS.
Di samping itu, sebagai alternatif bagi memudahkan peminjam berinteraksi berhubung kedua-dua program ini, mereka boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.
Untuk maklumat lanjut, layari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau hubungi 011-33181088 dan emel ke bayaranbalikpinjaman@ysnet.org.my.

