
Filem muzikal terbaharu, Rangga & Cinta kini menjadi bualan ramai apabila pihak produksi, Miles Films mula memperkenalkan barisan pelakon generasi baharu di industri hiburan Indonesia.
Rangga & Cinta merupakan versi moden filem ikonik Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) yang meledak di pawagam apabila ditayangkan pada 2002.
Populariti AADC yang tidak pernah pudar akhirnya mengheret pengarah dan penerbit AADC Mira Lesmana menghasilkan Ada Apa Dengan Cinta 2(AADC 2).
Kini, kisah cinta abadi Rangga dan Cinta bakal dihidupkan kembali dalam nuansa yang lebih segar dan kekinian. Namun, watak Rangga bukan lagi menjadi milik Nicholas Saputra, demikian juga dengan Cinta, bukan lagi digalas oleh Dian Sastrowardoyo.
Filem muzikal ini sengaja menyasarkan golongan Gen Z sebagai pemain utama. Diproduksi oleh Miles Films, projek ini bukanlah sekuel AADC 2, melainkan sebuah remake dengan sentuhan muzikal yang lebih segar.
Sutradara Riri Riza kembali bekerja sama dengan Mira Lesmana dan Titien Wattimena untuk menulis naskah yang akan membawa penonton pada pengalaman emosional yang berbeza.
Menurut laporan media Indonesia, filem ini juga melibatkan perusahaan produksi antarabangsa seperti Barunson E&A dari Korea Selatan dan IMAJINARI dari Indonesia.
Pengenalan pelakon-pelakon baharu yang diumumkan oleh Miles Films melalui akaun Instagram rasminya Khamis lalu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat filem, dan seperti yang diduga, ramai yang membuat perbandingan dengan versi terdahulu.
Berlatar belakang suasana sekolah, filem ini menampilkan semula lagu daripada runut bunyi AADC, ‘Suara Hati Seorang Kekasih’, yang dinyanyikan dalam versi paduan suara.
Pada awal cerita, penonton diperkenalkan dengan kelibat Rangga yang hanya kelihatan dari belakang. Kamera mengikuti langkahnya yang membawa buku AKU karya Chairil Anwar.
Seterusnya, adegan memperkenalkan teman-teman Cinta yang dikenali sebagai ‘geng Cinta’ dan akhirnya, barulah wajah Rangga dan Cinta dipertontonkan dengan jelas.
Salah satu kejutan terbesar daripada filem ini ialah keterlibatan Nicholas Saputra sebagai penerbit.
Rangga & Cinta dijangka menemui penonton pada penghujung 2025. Sama-sama kita nantikan! - Getaran, 6 Mac 2025


