Rebut manfaat berharta, bukan sisi gelapnya

OpinionBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rebut manfaat berharta, bukan sisi gelapnya

“Benar seperti difirmankan Allah, manusia yang berharta mudah jadi jahat. Itu hakikat yang berlaku dalam sejarah manusia dengan kemunculan watak seperti Firaun, Namruh, Qarun dan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.”

Benar! Allah sebagai pemilik sebenar semua harta di alam semesta menegaskan:

Ertinya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya (berharta dan berkuasa) (al-‘Alaq 96:6-7).

Harta ialah ujian Allah kepada manusia. Jika kekayaan disalah guna, lubang neraka pemiliknya semakin dalam. Hal ini kerana, demi mencapai kekayaan manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menindas atau menzalimi orang lain. Dalam sebuah hadith, Nabi menyebut peristiwa akhirat yang melibatkan emas dan perak:

Ertinya: Nabi bersabda: “(Ketika kiamat berlaku), bumi akan memuntahkan segala isinya yang menyamai batang silinder panjang daripada emas dan perak. Ketika itu si pembunuh datang (menghampirinya) dan berkata: Kerana (gilakan benda) ini (emas, perak dan segala kemewahan dunia) aku telah membunuh (manusia dahulu semasa hidupku).

Kemudian si pemutus hubungan keluarga datang (menghampirinya) dan berkata: Kerana (gilakan benda) ini (emas, perak dan segala kemewahan dunia) aku memutuskan hubungan keluarga (semasa hidupku dahulu).

Kemudian si pencuri datang (menghampirinya) dan berkata: Kerana (gilakan benda) ini (Aku ditangkap mencuri lalu) tanganku telah dipotong. Mereka kemudiannya meninggalkan segala muntahan bumi itu dan langsung tidak mengambilnya. (Sahih Muslim, 1013).

Lihat sahaja konflik berdarah perang saudara di Sudan antara tentera kerajaan dan RSF (Rapid Support Forces) sekarang. Banyak punca krisis ini, antaranya ialah ‘perebutan kawalan industri emas’.

Perang sejak tahun 2023 ini sudah menelan korban lebih 150,000 rakyat Sudan. Ia juga bakal mencetus krisis kemanusiaan lain yang melibatkan jutaan rakyat yang tidak bersalah.

Perang AS – Iran juga banyak berpunca dari keangkuhan manusia yang berharta. AS sebagai negara kaya pembuli dunia bertindak sewenang-wenangnya menjarah Iran dengan berbagai alasan palsu. Penjarahan AS sudah lama berlaku kepada banyak negara dunia kerana kelebihan kuasa dan harta mereka.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi membuat perumpamaan yang lebih keras membayangkan betapa penggila harta sangat bahaya. Sabda Baginda SAW:

Ertinya: Tidaklah melepaskan dua ekor serigala lapar menyerang sekumpulan kambing biri-biri lebih bahaya (merosakkan agama) berbanding kehendak seseorang lelaki kepada harta dan pangkat (Sunan al-Tirmidhi, 2376).

Namun, untuk lebih adil dan positif, harta juga boleh menjadi sebab darjat syurga si kaya meningkat naik. Ia adalah satu anugerah Allah kepada si kaya yang betul cara hala nikmat hartanya. Ayuh kita ikuti kisah iri-hati para sahabat yang miskin ini.

Ertinya: Sekumpulan fakir Muhajirin bertemu Nabi SAW dan berkata: “Orang kaya mendapat kedudukan yang tinggi, nikmat berterusan.” Nabi bertanya: “Apa maksud kalian?” Mereka menjawab:

“Mereka solat dan puasa seperti kami, mereka bersedekah tapi kami tak mampu bersedekah. Mereka memerdekakan hamba tapi kami tak mampu merdekakan hamba.

Nabi bersabda: “Mahukah Aku ajarkan pada kalian sesuatu amalan yang akan membantu kalian menandingi orang yang mendahului kalian (dalam beramal). (Dengan amalan ini juga) kalian akan mendahului orang lain dan tiada siapa yang dapat menandingi kalian melainkan mereka turut melakukan amalan yang sama.”

Para sahabat yang fakir menjawab: “Ya! (Kami mahu).” Kalian bertasbih, bertakbir dan bertahmid setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali.” Selepas itu, Fakir Muhajirin datang mengadu kepada

Nabi: “Orang kaya mengetahui amalan ini dan mereka pun buat amalan tersebut.” Nabi menjawab: “Itu adalah kurniaan Allah yang Dia kurniakan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki” (Sahih Muslim, 595).

Secara tidak langsung, jawapan nabi pada hujung hadis di atas seolah-olah memberi galakan kepada semua Muslim untuk bekerja keras menambah harta yang menjadi sebab tambahan pahala untuk semua. Tambahan pula nabi turut menegaskan kelebihan harta jika ia berada pada tangan yang betul:

Ertinya: Sebaik-baik harta berada pada seorang lelaki soleh (Sahih Ibn Hibban, 3210).

Oleh kerana Islam ialah agama yang progresif, kita tidak sepatutnya bungkam sahaja menerima takdir hidup yang serba kekurangan. Teruskan berusaha agara kita dikurniai harta yang baik dan berkat. Jika risau harta yang banyak boleh memesong serta menjerumuskan kita dalam kancah dosa, isilah diri dengan ilmu agama yang dihayati.

Amalkan juga doa Nabi SAW ini, semoga ia menjadi benteng iman agar kita tidak mabuk dengan kilauan harta:

Ertinya: “Ya Allah! Aku mohon perlindunganMu daripada sifat malas, tua nyanyuk, dosa, beban hutang, kesukaran menjawab soalan dalam kubur, azab kubur, celaan (menghina dalam neraka oleh para malaikat penjaga neraka, azab neraka dan bencana kekayaan (seperti sifat jahat, sombong, bakhil). Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada bencana kefakiran (Sahih al-Bukhari, 6368).

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

The post Rebut manfaat berharta, bukan sisi gelapnya appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved