Rebut pahala di hari Arafah

27 Jun 2023 • 1:12 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

Hari Arafah adalah hari kemuncak kepada haji iaitu jatuh pada 9 Zulhijjah yang merupakan hari bagi jemaah Haji akan berwukuf di Padang Arafah.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihannya adalah hari Arafah merupakan rukun daripada Haji.

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]

image is not available
Kredit foto REUTERS/Mohammed Salem

Hari Arafah juga adalah hari di mana agama ini telah sempurna.

Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:

يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: “Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)]

Selain itu, hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

Hari Arafah adalah hari Penyaksian, keampunan dan pelepasan dari api neraka.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)].

Berpuasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

image is not available

Kelebihan lain hari Arafah adalah kebesaran berdoa kerana sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Jadi, hari Arafah adalah satu hari yang istimewa. Sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)].

Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan.

image is not available