
PETALING JAYA – Ketika jutaan rakyat menikmati cahaya lampu dan menggunakan elektrik dalam kehidupan seharian, ada insan yang perlu bergelap serta meredah laluan berair jauh di dalam terowong demi memastikan tenaga itu terus mengalir.
Itulah antara cabaran dilalui pasukan teknikal TNB yang memikul tanggungjawab memeriksa dan menjaga infrastruktur Skim Hidroelektrik Ulu Jelai.
Berbekalkan lampu kepala dan peralatan pengukuran, mereka menyusuri terowong dalam keadaan gelap serta basah untuk melakukan pemeriksaan terhadap aset yang menjadi sebahagian penting sistem penjanaan hidro negara.
Walaupun kelibat mereka kelihatan kecil di tengah terowong yang luas, tanggungjawab dipikul cukup besar kerana setiap pemeriksaan perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan sistem hidro terus beroperasi dengan cekap dan selamat.
Antara kejuruteraan utama skim berkenaan ialah Terowong Lencongan Telom sepanjang 8.5 kilometer (km) dan Lemoi sejauh 7.4 km yang masing-masing mempunyai diameter 3.5 meter.
Menerusi terowong itu, air dari kawasan tadahan bersebelahan disalurkan untuk dimanfaatkan dalam proses penjanaan elektrik.
Tugas berkenaan bukan sekadar berjalan menyusuri terowong apabila pasukan teknikal perlu melakukan bacaan dan pemerhatian secara teliti dalam persekitaran gelap serta berair yang menuntut kemahiran dan kecekalan tinggi.
Malah, ada ketikanya mereka perlu merapat ke lantai terowong dengan hanya berpandukan cahaya lampu suluh bagi memeriksa dan merekod keadaan aset.
Pemeriksaan itu penting kerana terowong merupakan sebahagian daripada sistem yang mengalihkan dan menyalurkan air bagi penjanaan elektrik di Stesen Janakuasa Ulu Jelai yang mempunyai kapasiti terpasang 372 megawatt (MW).
Tenaga yang dihasilkan menerusi sumber air berkenaan seterusnya menyokong keperluan sistem elektrik negara selain membantu kestabilan grid terutama ketika permintaan elektrik berada pada tahap tinggi.
Di sebalik kegelapan dan tugas yang jarang diketahui masyarakat, ketelitian pasukan teknikal berkenaan memastikan aset terus berfungsi dengan baik supaya tenaga dapat menyokong kehidupan, pekerjaan serta kegiatan ekonomi rakyat.
Kerja mereka mungkin jauh daripada pandangan, namun hasilnya dekat dengan rakyat apabila setiap pemeriksaan yang dilakukan membantu memastikan keluarga, perniagaan dan negara terus bergerak dengan bekalan tenaga yang diperlukan. – KOSMO! ONLINE
The post Redah terowong gelap, berair demi bekalan elektrik terjamin appeared first on Kosmo Digital.
