RedMagic 11 Air Kini Di Malaysia – Snapdragon 8 Elite, Bateri 7000mAh, Bermula RM2,499

TechnologyGaming
31 Jan 2026 • 7:54 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

RedMagic kini membawa masuk telefon pintar terbaru untuk pasaran Malaysia, iaitu RedMagic 11 Air. Seperti telefon RedMagic yang lain, telefon ini turut memfokuskan kepada pengalaman permainan video melaluinya.

image is not available

RedMagic 11 Air hadir dengan skrin 6.85-inci OLED dengan kadar segar semula 144Hz, dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite, memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 512GB. RedMagic turut mengatakan mereka menyertakan sebuah cip khusus untuk pengalaman permainan lebih baik melalui cip RedCore R4, serta dilengkapi bersama CUBE Sky Engine untuk pengalaman lebih lancar.

Melengkapkannya juga adalah bateri 7,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W. Seperti telefon memfokuskan permainan lain, RedMagic 11 Air turut hadir dengan sokongan penyejukan khusus dan ruang wap 4D, serta kipas terbina untuk penyejukkan. Ia turut hadir dengan sokongan kalis air dan debu IP54.

image is not available

Pada bahagian kamera, telefon ini hadir dengan kamera utama 50MP bersama lensa ultra-lebar 8MP, selain kamera swafoto 16MP.

Dari segi perisian, ia turut hadir bersama Google Gemini untuk pelbagai ciri berasaskan kecerdasan buatan. Tidak setakat itu, Game Space turut menawarkan ciri AI untuk menambah-baik prestasi ketika permainan.

image is not available

Di Malaysia, RedMagic 11 Air ini ditawarkan pada harga RM2499 untuk versi 12GB RAM dan storan 256GB, sementara model 16GB RAM dan 512GB storan pada harga RM2,999.