RedMagic 8 Pro akan dijual di Malaysia dengan diskaun RM800

Digital
21 Feb 2023 • 6:19 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Pengeluar telefon pintar gaming di bawah Nubia, RedMagic hari ini mengumumkan kedatangan RedMagic 8 Pro ke Malaysia. Ia adalah telefon pintar gaming terbaru mereka, diperkasa cip terbaik Snapdragon 8 Gen 2.

Telefon ini juga mengekalkan dua ciri-ciri unik yang diwarisi dari model sebelumnya, iaitu kipas RGB terbina di dalam badan serta kamera hadapan tersembunyi di bawah skrin. Lebih baik lagi, RedMagic mengenakan tanda harga yang lebih murah berbanding RedMagic 7S Pro semasa dilancarkan.

Harga dan promosi tempahan awal

Peminat yang mahu membeli RedMagic 8 Pro di Malaysia, boleh mula mendapatkannya pada 25 Februari 2023. Untuk hari pertama jualan, ia akan dijual secara eksklusif di Stor Rasmi RedMagic di Lazada sahaja.

Terdapat dua varian dijual di Malaysia, masing-masing dengan warna, RAM dan storan berbeza. Harga rasminya adalah seperti berikut:

  • RedMagic 8 Pro Matte (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,699
  • RedMagic 8 Pro Void (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,299

image is not available

Ini adalah harga pelancaran yang lebih murah berbanding RedMagic 7S Pro tahun lepas iaitu RM3,999 (12+256GB) dan RM4,999 (18+512GB).

Tetapi perkara lebih baik adalah diskaun di hari pertama jualan. Khas pada 25 Februari 2023 di Lazada sahaja, RedMagic 8 Pro boleh dibeli dengan diskaun sebanyak RM800, menjadikan harganya:

  • RedMagic 8 Pro Matte (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,699 RM2,899
  • RedMagic 8 Pro Void (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,299 RM3,499

image is not available

Selain itu, model comel baru RedMagic yang digelar Mora, turut akan dijual sebagai figura mainan di Lazada kelak. Peminat boleh membelinya pada harga RM99.

image is not available

Spesifikasi RedMagic 8 Pro

Telefon pintar RedMagic 8 Pro boleh digelar sebagai telefon pintar gaming paling sejuk kerana ia memiliki kipas terbina di dalamnya. Bagaimanapun, versi lampu RGB hanya terdapat untuk model termahal Void sahaja. Selain itu, telefon ini dilengkapi sistem penyejukan pasif lebih canggih 10-lapisan, menjadikan kadar pengaliran haba meningkat sehingga 600% berbanding model sebelumnya.

image is not available
Varian Matte (kiri) dan Void (kanan)

Prestasi tertingginya menggabungkan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman UFS4.0 sehingga 512GB. Ini memberikan peningkatan prestasi sehingga 37% di CPU dan 43% di GPU.

Sebagai telefon pintar gaming flagship, butang bahu adalah satu perkara penting. Bagaimanapun, RedMagic 8 Pro masih kekal menggunakan butang bahu sentuh bukan fizikal, dengan kadar sentuhan 520Hz.

image is not available

Beberapa naik taraf turut terdapat di paparan. Ia dilengkapi skrin AMOLED HD Penuh seluas 6.8-inci, tetapi kekal dengan kadar penyegaran 120Hz. Ini mungkin ketinggalan berbanding ROG Phone 6 (165Hz) dan Black Shark 5 (144Hz), tetapi RedMagic 8 Pro ada keistimewaan tersendiri.

Skrin telefon ini memberikan kadar cermin ke badan terbaik, berbentuk petak tanpa pepenjuru melengkung dan paling utama, kamera hadapan tersembunyi di balik skrin. Menurut RedMagic, mereka menggunakan kamera di sebalik skrin generasi kedua, UDC2.0 untuk memberi paparan yang lebih jelas dan tangkapan gambar kamera hadapan yang lebih baik. Pengimbas capjari kekal terdapat di dalam skrin.

image is not available

Menangkap gambar boleh dilakukan menerusi 3 kamera belakang iaitu kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan yang tersembunyi di sebalik skrin, menggunakan sensor 16MP F2.0.

Kapasiti bateri RedMagic 8 Pro kini dipertingkatkan kepada 6,000mAh. Ia masih menyokong pengecasan pantas 65W melalui USB-C dengan kepala pengecas GaN 65W dan kabel USB-C turut disertakan di dalam kotak.

Bagi melengkapkan pengalaman hebat bermain game, sistem bunyi stereo dwi-speaker ultra-linear dipasang ke dalam RedMagic 8 Pro. Ia juga mengekalkan jek audio 3.5mm untuk sambungan fon kepala bagi yang memerlukan.

image is not available

Satu lagi naik taraf besar di RedMagic 8 Pro adalah sokongan WiFi 7 (802.11be). Dengan sokongan jalur lebar lebih luas, WiFi 7 boleh memberikan kelajuan penghantaran data sehingga 46Gbps, berbanding 9.6Gbps di WiFi 6E. Selain itu, ia juga menyokong rangkaian 5G, NFC dan Bluetooth 5.3.

Sistem operasi Redmagic OS 6.0 berasaskan Android 13 digunakan oleh telefon ini. Bagaimanapun, tiada janji kemaskini perisian dimaklumkan untuk RedMagic 8 Pro. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk RedMagic 8 Pro. Kalau anda nak tengok bagaimana kipas dalam telefon berfungsi, rujuk video reviu kami di bawah:

Bacaan Berkaitan