Xiaomi telah memperkenalkan tablet baharu di Malaysia melalui model Redmi Pad 2 9.7“. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu WiFi dan 4G sekali gus memberikan pilihan yang lebih mudah kepada pengguna. Tablet ini juga hadir dengan pelbagai peningkatan berbanding generasi terdahulu termasuklah paparan yang lebih besar, bateri berkapasiti tinggi serta reka bentuk lebih nipis.

Seperti namanya, ia menampilkan skrin sebesar 9.7” dengan resolusi 2K, kadar segar semula 120Hz serta nisbah aspek 16:10. Peranti ini dipadankan dengan cip Snapdragon 6s Gen 2 bersama pilihan memori 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ia juga hadir dengan sistem operasi Xiaomi HyperOS 3 terus daripada kotak yang menawarkan lebih banyak penyesuaian ciri baharu untuk pengalaman yang terkini.

Dalam masa yang sama, ia dibekalkan dengan bateri berkapasiti 7600mAh bersama pengecasan 18W. Spesifikasi lain termasuk kamera utama 8MP, kamera swafoto 5MP, bicu audio 3.5mm, serta pembesar suara stereo dengan pensijilan Hi-Res.

Bagi yang berminat, tablet ini dijual di Malaysia dengan harga yang berbeza mengikut varian. Model WiFi ditawarkan pada harga RM569 untuk varian 4GB+64GB, manakala versi 4GB+128GB pula bernilai RM599 dengan kedua-duanya disertakan bersama kerangka percuma. Selain itu, model 4G dijual pada harga RM649 bagi 4GB+64GB sementara itu varian 4GB+128GB pula berharga RM699. Sama seperti model WiFi, setiap pembelian turut didatangkan dengan kerangka tablet percuma.



