
Redmi Turbo 5 dilancarkan semalam sebagai peranti pertama dengan cip MediaTek Dimensity 8500-Ultra dan menjadi pilihan menarik kerana hadir dengan prestasi perkakasan dalaman yang seimbang.

Redmi Turbo 5 hadir dengan skrin AMOLED 6.59 inci (2756 x 1268 piksel), kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak 3500 nits. Ia menggunakan bingkai logam bersama panel belakang kaca serta bonggol kamera menegak yang dilihat premium pada reka bentuknya.

Peranti ini digabungkan dengan cip MediaTek 8500-Ultra bersama memori sehingga 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 512GB UFS 4.1. Ia turut menggunakan sistem penyejukan 3D sama seperti model flagship Xiaomi, manakala enjin baharu yang dinamakan ‘Rampage Engine’ pula berfungsi menstabilkan prestasi CPU, GPU dan DDR ketika peranti digunakan secara intensif.

Bateri 7,560mAh disediakan menyokong pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 27W, manakala tahap ketahanan air dan debu melepasi perlindungan IP66/IP68/IP69/IP69K. Selain itu, peranti turut menyokong sambungan nirwayar sehingga jarak kilometer di samping mampu memberikan integrasi yang lebih lancar dengan peranti Apple serta perkongsian fail dan notifikasi merentas platform.
Tetapan kamera pada Redmi Turbo 5 terdiri daripada sensor utama 50MP, ultra lebar 8MP dan swafoto 20MP. Harga jualan bermula pada RMB1,999 (~RM1,133) bagi model asas dengan 12GB RAM dan 256GB storan, sementara itu model paling tinggi ditawarkan pada RMB2,599 (~RM1,473).

