Xiaomi dilihat hadir dengan dua pilihan jam tangan baharu di Malaysia. Melaluinya Redmi Watch 5 Active dan Redmi Watch 5 Lite dijual dengan harga masing-masing RM199 dan RM259 seutas. Terdapat juga promosi harga serendah RM129 (Redmi Watch 5 Active) dan RM199 (Redmi Watch 5 Lite) disediakan untuk masa terhad. Ketersediaan bermula sekarang melalui pengedar sah Xiaomi Malaysia sama ada secara dalam atau luar talian.

Redmi Watch 5 Active menggunakan skrin sesentuh IPS LCD sebesar 2-inci dengan resolusi 320 X 385 piksel dan kecerahan 500 nits. Selain itu mempunyai lebih 200 muka jam yang boleh disesuaikan di samping lebih 140 mod sukan terbina dengan pengesanan senaman automatik. Ia turut boleh memantau kesihatan sepanjang hari dengan sokongan penjejakan untuk kadar degupan jantung, SpO2, pola waktu tidur dan tahap tekanan. Xiaomi melengkapkan lagi jam tangan dengan ciri pintar seperti balasan pantas untuk mesej, kekunci khusus untuk panggilan dan pembantu maya terbina. Ia juga boleh berfungsi sehingga 18 hari dan kalis air IPX8.

Redmi Watch 5 Lite pula dilengkapi skrin AMOLED 1.96-inci dengan resolusi 401 X 502 piksel. Ia juga menyokong ciri Always-on-Display dan Palm Touch to Sleep, di samping mempunyai butang terbina di bahagian sisi. Ia turut boleh digunakan untuk menjejak pelbagai fungsi kecergasan dan menyokong lebih 150 mod sukan terbina. Lain-lain spesifikasi termasuk sambungan bluetooth 5.2, panggilan SOS kecemasan dan kalis air 5ATM .


