Netflix ialah syarikat yang mempopularkan mempopularkan perkhidmatan penstriman siri televisyen dan filem di Internet, dan pengasasnya, Reed Hastings dilaporkan akan meninggalkan syarikat tersebut tidak lama lagi.
Reed Hastings memulakan syarikat Netflix sebagai sebuah perkhidmatan sewaan kaset VHS di Amerika Syarikat pada tahun 1997, dan apabila rangkaian internet dilihat semakin membangun di negara tersebut, beliau telah menukarnya menjadi syarikat penstriman siri televisyen dan filem pula.

Netflix kemudiannya telah diperkenalkan secara global pada tahun 2016, dan sejak itu, pelbagai perkhidmatan penstriman lain telah diperkenalkan, seperti HBO Max dan Prime Videos. Walaupun begitu, Netflix masih dilihat sebagai perkhidmatan penstriman video siri televisyen dan filem yang paling ramai pelanggan setakat ini.
Beliau akan meninggalkan jawatan sebagai pengerusi syarikat dan lembaga syarikat tersebut pada bulan Jun 2026 untuk memfokuskan kepada kegiatan kedermawanannya. Walaupun beliau meninggalkan Netflix, beliau masih lagi mempunyai kedudukan sebagai ahli lembaga di syarikat AI Anthropic dan syarikat media dan kewangan Bloomberg.
