
Oleh Azreen Hazrina Hassan
SHAH ALAM, 31 MEI: Di sebalik kebimbangan terhadap pencemaran plastik yang terus merosakkan laut, sinar harapan muncul melalui usaha pendidikan oleh Reef Check Malaysia yang mendidik anak muda agar menjadi pelindung alam sekitar sejak bangku sekolah lagi.
Pegawai Pendidikan dan Kesedaran Awam Reef Check Malaysia Pricynthia Nesha berkata tumpuan diberikan kepada kanak-kanak di kawasan pesisir pantai menerusi ceramah, program kesedaran dan aktiviti pembersihan pantai secara berkala.
“Gabungan usaha NGO tempatan seperti Reef Check yang telah berada di Pulau Tioman lebih sedekad, bersama komuniti setempat dan program pendidikan di sekolah, telah meningkatkan tahap kesedaran penduduk. Kini, kita lihat lebih ramai terlibat dan menyokong aktiviti pengurusan sisa,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan awal, malah mampu melahirkan generasi yang celik alam sekitar dan aktif menjaga khazanah laut negara.

Statistik April 2024 menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima tertinggi dunia dalam pencemaran laut akibat plastik. Negara ini menghasilkan hampir 0.94 juta tan sisa plastik setahun, sebahagian besar daripadanya berakhir di laut.
Realiti itu mendorong pelbagai pihak termasuk Reef Check memperkukuh pendidikan sebagai langkah jangka panjang menangani krisis mikroplastik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Reef Check Malaysia Theresa Ng menegaskan usaha menangani pencemaran plastik perlu bersifat menyeluruh serta melibatkan pelbagai pihak termasuk pengguna dan industri.
“Kita perlu memahami keseluruhan rantaian nilai, dari masalah pengumpulan sisa hingga ke jenis bahan yang digunakan dalam produk. Pemilik jenama, peruncit dan pengguna semuanya memainkan peranan penting dalam mengurangkan pencemaran,” katanya.

Tambahnya, kesedaran pengguna terhadap produk yang digunakan adalah kunci kepada masa depan yang lebih lestari.
Ketika kerajaan sedang menggubal dasar sifar plastik dan memperkenalkan undang-undang baharu, Reef Check percaya bahawa pendidikan akar umbi kekal sebagai asas penting untuk perubahan jangka panjang.
Menerusi kerjasama dengan sekolah, NGO ini terus berusaha membentuk generasi muda yang bukan sahaja peka terhadap alam sekitar, malah berpotensi menjadi pemimpin masa depan dalam memerangi pencemaran global.

The post Reef Check didik anak muda jaga laut, tangani krisis plastik appeared first on Selangorkini.


