Reformasi cukai: 84.3% pengguna domestik di Semenanjung tidak terjejas

29 Feb 2024 • 8:43 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Sebanyak 6.96 juta atau 84.3 peratus pengguna kategori perumahan di Semenanjung tidak terjejas susulan pelaksanaan reformasi percukaian bagi perkhidmatan elektrik mulai 1 Mac.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini berkata bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj.

“Lebih kurang 15.7 peratus atau 1.29 juta pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 600kWj akan mengalami kenaikan bil bulanan antara RM0.01 hingga RM45.48 sebulan, atau sifar peratus hingga 1.66 peratus sebulan susulan kenaikan kadar cukai perkhidmatan itu,” menurut PETRA.

Kerajaan pada 28 Feb 2024 telah mengumumkan reformasi percukaian yang melibatkan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus bermula 1 Mac.

PETRA berkata subsidi yang dilaksanakan secara bersasar ini merupakan antara pendekatan kerajaan dalam memastikan subsidi diberikan kepada rakyat yang memerlukan.

Susulan itu, kementerian berkenaan menyarankan pengguna merujuk bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.

Pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik melalui laman sesawang myelectricitybill.my, selain mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.

Selain itu, penjimatan penggunaan tenaga elektrik boleh dilakukan dengan melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan memantau dan menganalisis penggunaan tenaga elektrik, serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.

Pengguna juga disaran menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan lima atau empat bintang bagi mendapatkan lebih banyak penjimatan tenaga elektrik, serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk memanfaatkan program Net Energy Metering (NEM) GoMEn dan NEM NOVA sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik ,“ katanya.

Kementerian itu juga telah mengumumkan kuota tambahan 100MW untuk NEM Rakyat dan 300MW untuk NEM NOVA, baru-baru ini. -Bernama