Reformasi sekolah bermula minggu depan, 10 sekolah setiap daerah dipilih

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Reformasi sekolah bermula minggu depan, 10 sekolah setiap daerah dipilih
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan program reformasi sekolah bermula minggu depan dengan memilih 10 sekolah di setiap daerah di seluruh negara sebagai perintis dalam usaha memperkukuh mutu pendidikan, profesionalisme guru dan kemenjadian murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah, dengan setiap sekolah ditawarkan peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai perubahan serta inisiatif reformasi mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, beliau telah mengadakan sesi bersama sekolah-sekolah yang terpilih dan mendapati semua pihak menunjukkan semangat yang tinggi untuk menjayakan agenda reformasi berkenaan.

"Tawaran kita itu adalah sehingga RM100,000 untuk setiap sekolah melakukan pelbagai perubahan dan reformasi di dalam sekolah dengan jauh lebih baik, mengangkat mutu pendidikan, mengangkat kemenjadian dan mengangkat profesionalisme serta kepakaran guru kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan reformasi yang dimaksudkan bukanlah sekadar menaik taraf kemudahan fizikal sekolah, sebaliknya membabitkan perubahan menyeluruh terhadap budaya kerja, ekosistem dan cara berfikir seluruh warga sekolah.

Beliau berkata, usaha itu tidak boleh dilaksanakan secara jalan pintas kerana matlamat sebenar reformasi adalah untuk meningkatkan martabat sekolah melalui perubahan yang mampan.

"Reformasi ini tidak jalan singkat. Contohnya nak pasang pendingin hawa di semua sekolah ataupun nak letak papan pintar dalam setiap kelas, itu bukan reformasi.

"Reformasi ialah perubahan budaya, perubahan ekosistem dan perubahan mentaliti yang harus digarap oleh seluruh warga sekolah untuk menaikkan martabat sekolah menjadi sekolah terbaik," jelasnya.

Menurutnya, reformasi itu turut memberi penekanan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran, kesejahteraan warga sekolah, kesihatan mental serta usaha menangani isu buli secara menyeluruh.

Tambah beliau, perubahan tersebut penting bagi memastikan sekolah bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah menjadi persekitaran yang selamat, kondusif dan mampu melahirkan generasi yang berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM turut melancarkan Garis Panduan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid sebagai langkah memperkukuh keselamatan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan.

Beliau berkata, garis panduan komprehensif itu merangkumi pelbagai aspek keselamatan di sekolah selain memastikan kebajikan dan perlindungan murid terus menjadi keutamaan kementerian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved