Rekaan Dalaman Prototaip Lenovo Legion Go 2 Diperlihatkan

TechnologyDigital
22 Jul 2025 • 4:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lenovo merupakan syarikat pertama untuk mengumumkan bahawa versi kedua konsol PC mudah-alih mereka, Lenovo Legion 2 Go akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme, tetapi sejak acara CES 2025, tidak banyak yang diperlihatkan mengenai konsol tersebut.

image is not available

Kini, ia telah dilaporkan bahawa pengeluaran untuk prototaip konsol ini telahpun dihentikan, dan sudah mula dijual di laman Xianyu, dan nampaknya dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2. Menariknya, konsol ini dilihat menggunakan memori LPDDR5X sebanyak 32GB, dua kali lebih banyak berbanding apa yang ditawarkan pada konsol Lenovo Legion Go asal.

image is not available

Pencipta kandungan China juga telah membongkar rangka konsol ini, dan memperlihatkan penggunaan komponen baru yang lain seperti panel skrin OLED Samsung bersaiz 8.8 inci dengan resolusi 1200p dan kadar segar semula 160Hz. Ia juga dilihat menggunakan bateri 74Wh yang menguasakan konsol selama sejam setengah apabila konsol dimainkan pada tahap kuasa 30W.

image is not available

Seperti pada konsol sebelum ini, alat kawalan pada Legion Go 2 juga boleh dicabut seperti pada konsol Nintendo Switch, dan kali ini, nampaknya selain daripada menggunakan alat kawalan kanan sebagai sebuah tetikus, konsol ini juga akan hadir dengan sokongan untuk menggunakan papan kekunci digital terbina.

image is not available

Setakat ini, tidak banyak butiran rasmi yang diketahui mengenai pelancaran rasmi konsol ini, tetapi terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa Lenovo akan mula memperkenalkan konsol ini sekitar September 2025.

  • VideoCardz 1, 2