Disember tahun lalu, Vivo mengacah pelancaran set kepala realiti bercampur (MR) mereka sebagai pesaing kepada Apple Vision Pro. Setahun hampir berlalu dan rekaan Vivo Vision akhirnya diperlihatkan kepada segelintir pelawat Boao Forum for Asia. Rekaan set kepala ini amat mirip dengan Vision Pro dengan skrin kaca di luar dan bahagian belakang pendakap kepala yang sama.

Ia juga menggunakan pek bateri yang disambung menggunakan magnet ke sisi set kepala bagi mengurangkan berat. Menurut laporan media China, Vivo Vision sama berat dengan AirPods Max iaitu sekitar 380 gram yang adalah lebih ringan berbanding Vision Pro seberat 650 gram. Seperti Vision Pro mempunyai pad pada bahagian muka serta kemasan logam yang minimalis.

Vivo Vision tidak mempunyai skrin di bahagian luar tetapi dapat dilihat empat kamera di bahagian hadapan dan dua lagi kamera di bahagian bawah untuk menjejak pergerakan tangan. Set kepala Vivo boleh mengesan gestur tangan serta jari dan oleh itu tidak memerlukan alat kawalan fizikal khas.
Vivo berkata set kepala masih lagi sedang diuji oleh kakitangan dengan pelancarannya mungkin dilakukan menjelang penghujung 2025.
