
SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan pangsapuri dalam kejadian pada Selasa.
Ketua Polis Daerah, ACP Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira jam 6.44 petang.
“Mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 4.20 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian bawah bangunan sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Zon Merah hospital pada jam 5.40 petang,” katanya.
Jelas Ramsay, siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR), dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhusni Hasani di talian 011-39360779 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-55202222 bagi membantu siasatan. - Getaran, 25 Mac 2026


