
PUTRAJAYA - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Presint 5, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring dan dipercayai terjatuh dari aras tinggi.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia 15 tahun ditemukan terbaring, dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.
“Mangsa tinggal bersama keluarganya di tingkat sembilan apartmen berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Hospital Putrajaya yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa.
“Bedah siasat akan dijalankan hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. - Getaran, 13 September 2026




