Remaja Afghanistan diberkas samun, tikam jurujual

11 Sep 2022 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

AMPANG - Seorang lelaki warga Afghanistan diberkas dipercayai menikam seorang jurujual dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Jalan Merdeka Permai 2 di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang juga warga Afghanistan didatangi suspek yang bersenjatakan sebilah pisau.

"Suspek meminta mangsa menyerahkan duit bagaimanapun mangsa enggan berbuat demikian.

"Berang dengan mangsa, suspek kemudiannya bertindak menikam mangsa di bahagian kepala dan bahu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ujar Mohamad Farouk, siasatan dijalankan berhubung kejadian kemudian membawa kepada penangkapan suspek sekitar jam 1.45 pagi pada Ahad.

"Suspek berumur 18 tahun itu diberkas di Jalan Wawasan, Ampang.

"Turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan semasa kejadian dan pakaian yang dipakai," katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Semakan dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved