
Remaja Hilang Dalam Gua Di Auckland Ditemui Maut
WELLINGTON: Polis New Zealand dilaporkan telah menemui mayat seorang remaja lelaki yang terperangkap di dalam Gua Abbey di Auckland ketika banjir.
Memetik laporan AFP, remaja lelaki itu adalah salah seorang pelajar yang menyertai aktiviti luar sekolah di gua tersebut bersama rakan-rakan sekelasnya.
Selepas sehari operasi pencarian dilakukan, polis berjaya menemui mayat mangsa.
“Kami berdukacita di atas kejadian tragis ini, ” kata penguasa polis Northland, Tony Hill.
Dalam pada itu, timbul persoalan mengenai mengapa guru sekolah mangsa membawa kesemua pelajar sekolah ke kawasan yang terdedah kepada banjir kilat.
Difahamkan, kawasan itu menerima taburan hujan kira-kira 13 sentimeter (lima inci) pada hari kejadian dan berlakunya banjir yang tidak dijangka.
Pengetua Sekolah Menengah Lelaki Whangarei, Karen Gilbert-Smith berkata bahawa pihak sekolah dan masyarakat sekeliling sedih dengan kejadian tersebut.
“Saya sedar bahawa orang ramai mempunyai banyak soalan, tetapi saya tidak layak untuk memberikan jawapan pada peringkat awal ini.
“Kami perlu memberi laluan kepada siasatan penuh dan menyeluruh yang dilakukan oleh Polis New Zealand dan pihak berkuasa,” katanya.
Polis pula enggan memberikan butiran lanjut mengenai tragedi di dalam gua itu dan juga memberi amaran kepada media untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
Sementara itu, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat tinggal dengan meletakkan bunga di gua terbabit.
Auckland yang merupakan bandar terbesar di New Zealand telah mengisytiharkan darurat selepas hujan lebat yang menyebabkan kebanyakan kereta terkandas, pokok tumbang dan perkhidmatan rel terganggu.
Pada Selasa, orang ramai dilihat bergegas keluar dari bangunan pejabat untuk pulang awal. Ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa bahagian di bandar itu.
Timbalan Datuk Bandar Auckland, Desley Simpson berkata bahawa keadaan darurat diisytiharkan sebagai langkah berjaga-jaga dan perkhidmatan tindak balas bencana akan digerakkan.
Dia menyifatkan banjir tersebut sebagai keadaan kecemasan yang berkembang.
Sumber: AFP
The post Remaja Hilang Dalam Gua Di Auckland Ditemui Maut appeared first on Siakap Keli.



