
SINGAPURA – Seorang remaja Perancis didenda hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan awam berhubung aksi menjilat penyedut minuman yang menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah di Singapura..
Didier Gaspard Owen Maximilien, 19, dikenakan denda Sg$600 (RM1,900) selepas mengaku memuat naik video di laman sosial menunjukkan dia meletakkan semula penyedut minuman yang dijilat ke dalam bekas pada mesin layan diri jus oren.
Klip video mengenainya tular tidak lama selepas kejadian pada 12 Mac lalu, menyebabkan dia ditangkap pihak berkuasa Singapura.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Kelly Ho berkata, memandangkan ‘usia Maximilien dan sifat kesalahan tersebut’, hukuman alternatif seperti tempoh percubaan atau kerja komuniti tidak akan dikenakan.
Pihak pendakwaan bersetuju dengan cadangan pembelaan untuk mengenakan denda, dengan menyatakan, kesalahannya tidak begitu serius kerana walaupun aspek kebersihan terjejas, tiada orang awam menggunakan penyedut minuman tersebut, maka ‘tiada bukti kemudaratan berlaku’.
Menurut mereka, Maximilien juga ‘mengaku bersalah pada kesempatan terawal yang mungkin’. – AFP
The post Remaja jilat ‘straw’ didenda RM1,900 appeared first on Kosmo Digital.
