
Remaja Kenya cuba tarik perhatian ‘big boss’ bola sepak dunia, FIFA dengan menjalankan kempen ‘satu gol satu pokok’ dalam usaha memulihara semula hutan negaranya yang kian musnah digondol.
Seorang pemain bola sepak remaja dari Kenya cuba menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bukan tentang bola sepak tetapi ‘pokok’, lapor CNN Sports.
Lesein Mutunkei, 18, mahu pemain bintang seperti Ronaldo, Messi dan Neymar mengalihkan perhatian mereka seketika daripada bola sepak dalam usaha memerangi penebangan hutan.
Difahamkan, remaja itu kini sedang giat menggerakkan kempen kesedaran ‘satu gol satu pokok’, di mana dia akan menanam satu batang pokok bagi setiap gol yang dijaringkannya.
Merujuk CNN Sports, dia bertindak sedemikian ekoran Kenya kini dikatakan sudah kehilangan banyak kawasan hutan yang bersamaan 50 padang bola sepak pada setiap hari.
Justeru baginya, kempen tersebut adalah sebagai satu inspirasi kepada generasinya untuk mencipta masa depan Kenya yang lebih selamat dan hijau.
“Bola sepak adalah permainan untuk semua dan perubahan iklim juga untuk semua,” katanya seperti yang dilapor CNN Sports baru-baru ini.

Kempen kesedaran dipuji FIFA
Pada awalnya, Lesein memulakan kempennya itu, Trees4Goal melalui pemain-pemain bola sepak muda di rantau tersebut dan turut menyeru mereka untuk menanam pokok setiap kali berjaya menjaringkan gol.
Oleh hal sedemikian, Lesein mahu FIFA sebagai organisasi utama bola sepak di dunia untuk memberi galakan kepada berbilion pengikutnya di seluruh dunia dalam memberi impak kesedaran hutan dan alam sekitar secara global.
Sementara itu, FIFA baru-baru ini dalam emelnya kepada CNN berkata, “Projek yang diketuai oleh golongan muda tersebut untuk menjaga iklim Bumi bukan sahaja tindakan yang patut dipuji namun (sangat) perlu,”
Jelas Lesein, walaupun dia belum menerima sebarang maklum balas dari FIFA, namun projeknya itu telah diakui oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal yang menghadiahkan jersi dengan tanda tangan kepadanya.

Kementerian Alam Sekitar pun ‘support’
Dalam pada itu, sementara menunggu maklum balas daripada FIFA, kempen Trees4Goal turut berjaya menambat hati Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Kenya.
Sebagai tanda sokongan projek pemuliharaan itu, kementerian tersebut memberi kerjasama dengan membekalkan anak pokok kepada mereka untuk ditanam secara berkala di kawasan yang ditetapkan.
Justeru, perkara itu sedikit-sebanyak memberi sinar kepada remaja berkenaan dan dianggap ‘selangkah lebih dekat’ untuk merealisasikan impiannya itu demi pemuliharaan hutan di Kenya.
Sebelum ini, Lesein bersama 22 lagi rakan bola sepaknya sudah menanam sebanyak kira-kira 700 batang anak pokok di Hutan Karura yang terletak di ibu negara, Nairobi hanya dalam tempoh kurang sejam.
Untuk rekod keseluruhan, remaja tersebut sudah menanam lebih daripada 5,500 pokok asli hutan di sekolah-sekolah dan di sekitar kawasan padang bola sepak di Kenya.

Hasil penat lelahnya itu akhirnya berjaya membuatkan keluasan litupan hutan di Kenya kini sudah meningkat kepada sembilan peratus, walaupun peningkatan permintaan kayu dan arang di negara itu turut sama meningkat.
Merujuk info terdahulu, menurut Perkhidmatan Hutan Kenya, pihaknya menyatakan bahawa jumlah keluasan litupan hutan negara yang direkodkan pada 2018 lalu hanyalah enam peratus sahaja.
Difahamkan, penurunan jumlah litupan hutan tersebut yang dipercayai berpunca daripada pembalakan tidak terkawal malangnya telah menyumbang kepada fenomena pemanasan global dan kemusnahan habitat liar.
Sumber: CNN Sports
The post Remaja Kenya Tarik Perhatian FIFA, Tanam Pokok Setiap Kali Gol appeared first on Siakap Keli.
