
TAWAU: Polis menahan seorang remaja lelaki, 17, bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan seorang mangsa yang dilaporkan berlaku di Kompleks Sukan Tawau, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditangkap sekitar jam 1 petang Rabu di sebuah kawasan taman perumahan di Jalan Kuhara oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil maklumat dan operasi mengesan suspek serta turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk tujuan siasatan.
“Polis turut giat mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan tersebut,”katanya pada Rabu.
Jasmin berkata, insiden pergaduhan itu dikatakan berlaku sekitar jam 9.30 malam apabila mangsa bersama tiga rakannya didatangi sekumpulan individu yang menunggang motosikal semasa berada di kompleks sukan.
Dalam kejadian itu, katanya, salah seorang rakan mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan topi keledar oleh salah seorang suspek.
“Pada awalnya berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua pihak sehingga akhirnya mencetuskan pergaduhan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, katanya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan pergaduhan dan mengancam keselamatan awam.


