
KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan remaja meletakkan sebuah keranda di tepi jalan di Batu 12, Sungai Burong sebagai peringatan kepada pelumba haram mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Menerusi satu hantaran tular di media sosial, kumpulan remaja tersebut dilihat mengeluarkan sebuah keranda putih dari sebuah van jenazah sebelum meletakkannya di bahu jalan.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan sebagai satu bentuk peringatan kepada golongan mat rempit yang sering berlumba di kawasan berkenaan tanpa memikirkan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Tengok siapa yang kena,” menurut kapsyen ringkas pada hantaran tersebut.
Remaja yang dipercayai terdiri daripada kariah masjid di kawasan itu dilihat menggunakan pendekatan berbeza sebagai sindiran terhadap golongan muda agar menjauhi aktiviti berbahaya tersebut.
@arep743 tgk sapa yg kena#fypシ゚ #kuburkatamari #kontenhiburan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji usaha berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu bentuk dakwah yang kreatif serta mampu memberi kesedaran kepada masyarakat.
Seorang pengguna berpendapat pendekatan sedemikian mampu menghalang golongan muda daripada terus berlumba.
“Aku setuju dengan cara abang buat ni, niat nak bagi kesedaran untuk anak muda,” kata seorang pengguna.
Sebahagian pengguna lain menyifatkannya sebagai cara yang lebih berkesan selepas pelbagai teguran sebelum ini tidak diendahkan.
Terdapat juga yang berharap usaha tersebut dapat memberi keinsafan kepada mereka yang masih berdegil melakukan aktiviti berbahaya di jalan raya. –MYBERITA
