
Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, pada malam Sabtu.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 10.20 malam, Sabtu ketika motosikal mangsa bertembung dengan kenderaan terbabit semasa dalam perjalanan dari arah Bukit Padang menuju ke Inanam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mendapati Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dipercayai sedang membuat pusingan U ketika perlanggaran berlaku.
Beliau berkata motosikal mangsa yang bergerak lurus di lorong kedua dari sebelah kiri telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas jalan raya.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth II. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat,” katanya di sini pada Ahad.
Shahrudin berkata pemandu berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Insp Royston Ubak di 016-3130153 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.






