Remaja maut motosikal terbabas ketika cuba lari dari polis

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakannya yang masing-masing menunggang motosikal telah ternampak pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum bertindak melarikan diri.

KAMPAR - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar besi ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Jalan Pasar di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakannya yang masing-masing menunggang motosikal telah ternampak pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum bertindak melarikan diri dan berpecah.

Menurutnya, anggota URB yang berada di lokasi telah mengarahkan kumpulan terbabit berhenti, namun mereka bertindak memecut meninggalkan kawasan berkenaan.

"Polis kemudian mengekori dari jarak kira-kira 150 meter dengan menyalakan lampu isyarat kecemasan sebelum mangsa dilihat melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus.

"Motosikal mangsa telah melanggar bonggol berhampiran pasar mengakibatkannya hilang kawalan lalu melanggar besi tangga berhampiran longkang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa ditemui terbaring di sebelah motosikal jenis Yamaha 135LC yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang ditunggangnya dipercayai telah diubah suai.

"Difahamkan mereka melarikan diri kerana takut dikenakan tindakan oleh polis.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.