Remaja maut terkena renjatan ketika panah ikan

20 Apr 2025 • 3:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Patimang Abdul Ghani

KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan ketika memanah ikan di sungai Kampung Minansad, dekat sini, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, Jonell Von John, 15, seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Simiun berkata, berdasarkan keterangan ringkas menerusi laporan yang diterima dari bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat, mangsa ditemui di dalam sungai yang di dasarnya terdapat kabel elektrik terputus akibat ditimpa pokok tumbang.

Menurut Simiun, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama tiga rakannya hendak pergi memanah ikan di sungai tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

“Kira-kira jam 8 malam, salah seorang rakan mangsa yang dikenali sebagai Brandly datang ke rumah dan memberitahu bapa mangsa bahawa mangsa terkena renjatan semasa berada di dalam sungai.

“Bapa mangsa terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati anaknya berada di dalam sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil memegang kabel elektrik berkenaan.”

Simiun berkata, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menjumpai apa-apa kesan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

Mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum pegawai perubatan membuat pemeriksaan dan mengesahkan kematian mangsa pada jam 10.02 malam.

Mayat dibawa ke Hospital Kota Marudu oleh pihak ambulans untuk pemeriksaan lanjut dan dimasukkan ke dalam bilik mayat hospital itu untuk bedah siasat.

Menurut Simiun, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.