Remaja OKU diperintah jalani rawatan psikiatri selepas dituduh bunuh ibu

30 Sep 2026 • 11:37 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja OKU diperintah jalani rawatan psikiatri selepas dituduh bunuh ibu

KUALA KANGSAR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selepas dihadapkan pertuduhan membunuh tanpa niat ibunya di Kampung Cheh Kati dekat sini minggu lalu.

Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin mengeluarkan perintah tersebut selepas remaja tersebut didapati tidak memahami pertuduhan yang dibaca kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPP), Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly.

“Awak dengar apa dia (TPP) baca? Awak faham ke? Tak faham? Tadi dengar apa dia cakap, faham ke? Tak faham?” tanya Majistret kepada remaja berkenaan semasa prosiding di sini hari ini.

Ketika prosiding, Majistret juga bertanyakan kepada tertuduh adakah dia sudah makan, dan remaja itu hanya menjawab ‘nasi’.

Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan kerana dimaklumkan tertuduh mempunyai rekod mental.

TPP tidak menawarkan jaminan dan meminta kepada mahkamah tarikh sebutan baru selepas menerima laporan pemeriksaan psikiatri.

Mengikut pertuduhan, remaja itu pada tarikh 23 September lalu pukul 2.10 petang didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Nor Ainon Omar, 49, dengan niat hendak menyebabkan kematian dan dengan itu telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam kejadian yang berlaku pada, seorang wanita OKU lembam didapati meninggal dunia atas faktor kehilangan banyak darah di kaki akibat dicucuk benda tajam.

Ekoran kejadian itu, remaja tersebut yang merupakan anak mangsa ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu, manakala suami mangsa direman tujuh hari bermula hari yang sama.

Namun hari ini, suami mangsa tidak dikenakan sebarang pertuduhan, namun difahamkan akan menjadi saksi pendakwaan kes berkenaan.

Keluarga tersebut amat dikenali oleh warga Kuala Kangsar kerana kerap menghias kereta mereka dengan Jalur Gemilang serta ketua keluarga itu sering membawa anak-anak mengunjungi kawasan tumpuan di bandar ini. – UTUSAN

The post Remaja OKU diperintah jalani rawatan psikiatri selepas dituduh bunuh ibu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved