
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang remaja perempuan berhadapan dengan detik hitam apabila dia dirogol dan disamun oleh lelaki yang tidak dikenali selepas keluar beriadah pada cuti Awal Muharam lalu di Palekbang, Tumpat, Kelantan.
Apa yang lebih menyedihkan, mangsa yang berusia 15 tahun itu turut cedera akibat dipukul dengan sebatang kayu oleh lelaki berkenaan.
Remaja Ditemui Dalam Kawasan Semak, Alami Kecederaan Parah Pada Muka, Kepala & Badan
Memetik Sinar Harian, mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan.
Dia ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran tali air kira-kira jam 11 pagi sebelum penemuannya itu dimaklumkan kepada bapa mangsa.
Difahamkan, bapa remaja berkenaan, 50, sememangnya sedang mencari gadis terbabit selepas mangsa tidak pulang ke rumah setelah keluar beriadah pada jam 7 pagi.
Polis Terima Laporan Dari Bapa Mangsa
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang memaklumkan anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah.
“Bapa mangsa mencarinya sejak jam 10 pagi semalam sebelum dihubungi kenalan yang memberitahu anaknya itu sudah dijumpai di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang, di sini.
“Lelaki itu ke lokasi dan melihat anaknya dalam keadaan separuh sedar serta mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan badan dipercayai dipukul menggunakan sebatang kayu.
“Mangsa juga dirogol di tempat kejadian dan telefon bimbitnya turut dilarikan suspek,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Kes Disiasat Di Bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan & Seksyen 394 Kanun Keseksaan
Jelas Mohd Khairi, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulazri di talian 011-11486922,” katanya.
Mangsa Masih Trauma, Polis Gerakkan Unit K9 Kesan Suspek
Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Khairi menjelaskan mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih trauma akibat kejadian terbabit.
“Mangsa dalam keadaan stabil tetapi masih trauma berikutan kejadian itu. Dia juga masih di bawah pemerhatian doktor di hospital,” lapor Harian Metro.
Malah, usaha mengesan suspek yang masih bebas giat dijalankan dan Unit K9 telah digerakkan bagi membantu mengesan suspek manakala pihak penyiasat juga sedang meneliti beberapa petunjuk.
“Kami masih mengesan suspek dan Unit K9 sedang membantu dalam usaha menjejaki serta mengesannya.
“Kami meminta sesiapa saja yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan untuk menghubungi polis dengan segera,” jelasnya.
Mangsa Keluar Berjoging Dengan Adik Berusia 10 Tahun, Adik Sangka Kakak Dah Pulang Ke Rumah
Memetik Kelantan Daily, nenek mangsa yang dikenali sebagai Rokiah, 74, mendedahkan cucunya itu keluar berjoging bersama adik lelakinya yang berusia 10 tahun pada awal pagi sebelum kedua-duanya terpisah.
Jelas Rokiah, cucu lelakinya memberitahu bahawa dia tidak mampu mengikut langkah kakaknya kerana penat dan tertinggal di belakang.
“Dia beritahu saya dia berasa penat dan tertinggal di belakang. Dia cari kakaknya tetapi tidak jumpa dan menyangka kakaknya sudah pulang ke rumah sebelum dia balik.
“Kami hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripaada bapa mangsa sekitar tengah hari yang memaklumkan remaja tersebut ditemui berhampiran kawasan semak,” katanya.
Tambah Rokiah, berita itu amat mengejutkan mereka sekeluarga kerana tidak pernah menyangka kejadian sebegitu akan menimpa cucunya yang merupakan anak kedua dari tiga beradik.
Baca Artikel Berkaitan: Bomoh Di Melaka Rogol Remaja Sebanyak Empat Kali, Guna Alasan Buang ‘Pendamping’
Baca Artikel Berkaitan: Menyamar Jadi Penghantar Barang, Lelaki Maut Selepas Rogol & Samun Wanita Di Wangsa Maju



