Remaja Perempuan Mengaku Tidak Bersalah Tikam Ibu Saudara, Dibenarkan Ikat Jamin RM3000

7 Jan 2025 • 3:31 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini berhubung dakwaan tikam ibu saudara dengan menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Prai, Bukit Mertajam pada Jumaat lalu.

Menurut laporan Berita Harian, tertuduh berusia 14 tahun yang tidak bersekolah dan juga positif dadah membuat pengakuan tersebut ketika prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Remaja Perempuan Mengaku Tidak Bersalah Tikam Ibu Saudara

image is not available

Foto: Berita Harian

Menurut pertuduhan, remaja tersebut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.

Justeru itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

image is not available

Foto: Berita Harian

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000, namun peguam Muhaimin Hashim meminta jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya berikutan tertuduh pesalah kanak-kanak, selain mahu bersekolah semula bagi sesi akademik akan datang.

Mahkamah turut membenarkan remaja itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi kejadian sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 Mac depan bagi serahan laporan perubatan dan forensik.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Terdahulu, seorang remaja perempuan ditahan polis selepas menikam ibu saudaranya dengan pisau menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut sebelah kiri dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, menjelaskan punca pertengkaran berkenaan dipercayai selepas suspek dikatakan mahu tinggal semula dengan ibu kandungnya tetapi dihalang mangsa.