Niat mahu menghentikan tersebarnya sebuah video akhirnya menyebabkan seorang remaja lelaki mengalami kerugian RM800 selepas didakwa menjadi mangsa peras ugut.
Remaja berusia 18 tahun itu sanggup memberikan beberapa kod tambah nilai Touch ‘n Go kepada pemilik akaun Threads kerana bimbang video berkenaan terus tular dan mengundang lebih banyak kecaman.
Video gurauan disalah anggap

Menurut remaja terbabit, rakaman tersebut memaparkan dirinya sedang bergurau bersama seorang rakan berlainan jantina di sebuah rangkaian kedai kopi.
Dia menjelaskan aksi mereka dilakukan sambil mendengar lagu popular di TikTok dan bukannya sedang bercium seperti yang didakwa oleh pihak yang menyebarkan video tersebut.
Kami memohon maaf jika aksi kami itu mencurigakan. Kami hanya bergurau senda dan berharap orang ramai memadam serta melaporkan video tersebut jika masih menemuinya.- Katanya.
Sanggup bayar RM800 untuk padam video

Selepas video itu tersebar, remaja berkenaan menghubungi pemilik akaun Threads yang memuat naik rakaman tersebut dan meminta supaya ia dipadamkan.
Namun, individu terbabit didakwa meminta kod tambah nilai TNG sebagai syarat untuk menurunkan video berkenaan.
Kerana terlalu risau, remaja itu menyerahkan kod tambah nilai secara berperingkat bernilai RM100, RM200, RM200 dan RM300. Keseluruhan bayaran yang diberikan berjumlah RM800.
Tetap sebarkan walaupun sudah bayar

Selepas membuat pembayaran, remaja terbabit menyemak semula akaun individu berkenaan sebelum mendapati video tersebut masih belum dipadam seperti yang dijanjikan.
Susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Port Dickson pada Rabu serta berkongsi laporan berkenaan menerusi Threads.
The post Remaja Rugi RM800 Sebab Takut Video Dakwaan Bercium Tersebar appeared first on Oh! Media.
