Remaja Sesak Nafas Dalam Kebakaran 3 Rumah Di Ipoh

22 Jul 2022 • 6:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kebakaran di 3 buah rumah berkeluasan 16x40 itu melibatkan kemusnahan antara 10 hingga sebanyak 80 peratus di Jalan Taman Shantin, Pasir Putih, semalam. - Gambar ihsan Bomba

IPOH -  Seorang remaja perempuan terpaksa dibawa ke hospital akibat mengalami sesak nafas dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Jalan Taman Shantin, Pasir Putih semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih dibantu BBP Ipoh, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan Menglembu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kira-kira 4 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapati, berlaku kebakaran melibatkan tiga buah rumah berkeluasan 16x40 yang mengalami kemusnahan antara 10 hingga sebanyak 80 peratus namun berjaya dipadamkan menggunakan tiga aliran salur berserta enam pancutan dari pam jentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata akibat kebakaran itu, seorang remaja perempuan dari satu daripada rumah terbabit mengalami sesak nafas dan telah diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan selanjutnya.

Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai identiti remaja perempuan tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama