Remaja tangguh sekolah jaga bapa

LocalFamily & Parenting
28 Jul 2026 • 7:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja tangguh sekolah jaga bapa

BESUT: Seorang remaja dari Kampung Gong Ubi Keling sanggup menangguhkan persekolahannya demi menjaga bapanya yang terlantar akibat serangan strok otak.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tempinis, Muhammad Nur Irfan Ab. Ghani, 14, membuat keputusan itu sejak hujung Jun lalu bagi memberi tumpuan terhadap urusan menguruskan bapanya, Ab. Ghani A. Rahman, 49,

Ibunya, Zubaidah Abdullah, 44, berkata, sejak Ab. Ghani sakit pada 28 Jun lalu, Muhammad Nur Irfan yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sudah tidak ke sekolah dan kelmarin menghantar surat kepada pengurusan sekolah memaklumkan keputusannya itu.

“Dia sedih kerana tidak dapat belajar seperti rakan-rakan lain, namun dia kata ini tanggungjawabnya. Dia sanggup menjaga bapanya ketika saya keluar berniaga seawal pukul 5 pagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Zubaidah berharap anak ketiganya daripada lima beradik itu dapat kembali menyambung persekolahan tahun depan jika kesihatan suaminya semakin baik, selain tidak mahu mengabaikan masa depan Muhammad Nur Irfan.

Menurutnya, suaminya diserang strok yang melibatkan bahagian otak berkaitan sistem pernafasan setelah mengadu pening kepala dan rebah selepas pulang bekerja sebagai tukang rumah pada 28 Jun lalu.

Katanya, Ab. Ghani kemudian dibawa ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan selama 13 hari, Ab Ghani terpaksa ditidurkan sebanyak dua kali sebelum dibenarkan pulang pada 11 Julai lalu.

“Doktor beritahu proses pemulihan mengambil masa lama. Suami juga menghidap penyakit jantung dan darah tinggi, malah pernah dimasukkan ke hospital selama tiga malam akibat serangan jantung pada Mei lalu,” katanya.

Zubaidah yang berniaga kecil-kecilan berkata, pendapatan keluarga terjejas apabila suaminya tidak lagi mampu bekerja.

“Ketika saya berniaga, anak-anak bergilir-gilir menjaga bapa mereka termasuk memberi susu setiap empat jam dan menguruskan segala keperluan hariannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 13035020442952 atas nama Zubaidah Abdullah atau menghubunginya di talian 019-6330737.-UTUSAN

The post Remaja tangguh sekolah jaga bapa appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved