Reman Ibu Bapa Zayn Rayyan Disambung 6 Hari lagi

7 Jun 2024 • 12:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kedua ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya - Gambar X

KUALA LUMPUR  - Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini membenarkan reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh Disember tahun lalu disambung enam hari lagi.

Majistret Ainaa Muhamad Kamal seperti dilaporkan Sinar Daily mengeluarkan perintah tersebut selepas bersetuju dengan permohonan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan berkenaan terlebih dahulu direman tujuh hari bermula 1 Jun lalu.

Difahamkan, media juga tidak dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu, memandangkan ia masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai. 

Mayatnya ditemui keesokan hari berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman.

Polis kemudiannya mengesahkan mangsa dibunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.

Kes terbabit ‘senyap’ seketika sebelum ia kembali hangat, susulan penahanan kedua ibu-bapa kanak-kanak malang itu di Puncak Alam, 31 Mei lalu. 

Pasangan tersebut ditahan di kediaman keluarga sekitar jam 11 pagi. - Getaran, 7 Jun 2024