
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Viva dalam nahas di jalan masuk menghala ke Felda Lui Selatan, di Jempol, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Den Jahoring, 25, pekerja kilang perabot di Seremban, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu sedang memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi tidak sempat mengelak Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun di laluan bertentangan.
“Mangsa dipercayai dari arah rumahnya di Kampung Sungai Sampo menghala ke Seremban, manakala kereta berkenaan menghala ke Felda Lui Selatan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang memotong kenderaan di hadapannya dipercayai tidak sempat mengelak Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.
Chang Hook berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik manakala pemandu Perodua Viva mengalami luka di bahagian kepala.
“Pemandu kenderaan terbabit menerima rawatan susulan di Hospital Jempol dan proses bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dilakukan hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk membantu siasatan.
Terdahulu, video kemalangan tersebut dipercayai dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebelum tular di media sosial.
Menerusi rakaman video yang tular itu, mangsa dilihat melambung tinggi di udara sebelum terkulai di atas jalan raya.
Kereta Perodua Viva terbabit pula terbabas masuk ke dalam semak.
Rata-rata netizen meluahkan simpati terhadap penunggang motosikal berkenaan dan mendakwa mangsa mungkin mengalami gejala microsleep. – Getaran, 19 Jun 2023

