‘Rendaman kasih’ Fasha Sandha, Ustaz Izhar Ariff ulas -“Tak sesuai hingga timbul fitnah”

14 Sep 2023 • 5:13 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff menegaskan pasangan suami isteri perlulah menjaga batasan mereka terutama di khalayak orang ramai.

Usah kongsi adegan tak sesuai sehingga timbul fitnah

Memetik laporan Harian Metro, Mohd Izhar berkata, hubungan suami isteri perlu dibatasi terutama mempamerkan video seakan ‘adegan’ kandungan dewasa sehingga menampakkan akhlak tidak baik sebagai seorang umat Islam.

Ujarnya, kandungan seperti itu adalah perlu dielakkan kerana ia akan menimbulkan fitnah, keraguan serta perbincangan dalam kalangan masyarakat.

“Hubungan suami isteri tak ada batas kecuali liwat dan bersetubuh ketika datang haid atau dalam nifas (darah yang keluar selepas proses melahirkan). Itu diharamkan.
“Namun begitu, hubungan suami isteri perlu dibatasi di hadapan khalayak ramai. Tak sesuai untuk melakukan adegan-adegan 18SX ke atas sehingga ia menampakkan akhlak yang tidak baik dalam kalangan kita sebagai umat Islam.
“Menunjukkan isteri kita yang tak tutup aurat, seksi dan sebagainya. Suami juga menunjukkan contoh yang tidak baik apabila kita berada di tempat-tempat yang boleh menimbulkan fitnah, keraguan dan perbincangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

image is not available

Carilah rezeki dengan keadaan halal tanpa jatuhkan maruah

Tambahnya, seorang suami bertanggungjawab dalam mencari rezeki yang halal tanpa menjatuhkan maruah sebagai seorang Muslim dan juga ibu bapa kepada anak-anak seperti mana dinyatakan di dalam Al-Quran.

“Sebab itu dalam Al-Quran, orang lelaki mentadbir wanita. Maksudnya, bertanggungjawab mencari rezeki dan duit, tapi biarlah dengan keadaan halal dan pada masa sama, cara kita dapatkan duit itu tanpa jatuhkan maruah sebagai Muslim dan juga ibu bapa kepada anak-anak,” katanya lagi.

image is not available

Nak kongsi? Fikir kesan jangka masa panjang

Sementara itu, pendakwah itu turut mengulas mengenai video tular di media sosial mengenai pasangan selebriti tempatan, Fasha Sandha dan Aidil Aziz yang dilihat mempamerkan hubungan mesra suami isteri di dalam tab mandi sehingga menjadi bualan ramai.

Ujarnya, pasangan itu perlulah memikir akan kesan jangka panjang terutama terhadap anak-anak mereka kerana kandungan yang dikongsikan di media sosial akan kekal berada di Internet.

“Sudah pasti video itu akan ada dalam laman sosial selamanya. Sudah pasti bila anak-anak dah membesar, mereka tengok ibu bapa mereka menayangkan hubungan intim sekali di dalam tab mandi sehingga menimbulkan fitnah di masa depan.
“Kita kena sama-sama jaga supaya anak-anak kita membesar dalam ketakwaan,”ulasnya.

Tak salah ‘promote’ produk, tapi biarlah berpada-pada

Dalam pada itu, Mohd Izhar turut menyatakan Islam tidak pernah melarang umatnya untuk mencari rezeki dengan menjual produk atau interaksi sesama manusia.

Akan tetapi, mereka haruslah mencari menerusi jalan yang halal iaitu dengan mengelakkan maksiat seperti menggunakan selebriti seksi atas tujuan melariskan produk.

“Tapi, ada perkara penting yang perlu difahami oleh golongan peniaga dan pembuat produk, produk itu mestilah halal dan bersih. Kedua, tidak ‘overclaim’.
“Ketiga, dari sudut promosi, mestilah patuh syariah. Maksudnya, sebagai contoh, kita menggunakan artis-artis yang seksi untuk melariskan produk, itu tidak dibenarkan dalam islam sebab menggalakkan maksiat.
“Kita patut menjadikan produk itu sebagai jalan dakwah untuk mendapatkan rezeki halal. Perlu bekerja dengan cara yang betul dan patuh syariah dalam mempromosikan produk itu,”jelasnya.

image is not available

Sebelum ini, portal melaporkan selebriti Fasha Sandha dan suami, Aidil Aziz menjadi bualan ramai selepas memuat naik sebuah video aksi mesra mereka sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan warganet.

View Original Article