
Resipi Roti Jala & Serawa Durian, Gabungan Mantap Sesuai Untuk Majlis Keramaian
Bila sebut pasal roti jala, semua orang akan membayangkan gulungan-gulungan kemas berwarna kuning keemasan, dihidangkan di majlis keramaian, majlis perkahwinan ataupun perayaan.
Keunikan roti jala terserlah melalui bentuknya yang menyerupai jala atau anyaman halus, hasil daripada teknik penyediaannya yang kreatif dan penuh ketelitian.
Bukan itu sahaja, keenakan roti jala biasanya dilengkapkan dengan hidangan kuah kari yang kaya dengan rempah ratus, sama ada kari ayam ataupun daging. Hidangan kuah kari ini juga menjadikan gabungan rasanya akan lebih seimbang dan menyelerakan.
Namun, sebenarnya selain dari hidangan kuah kari, kita juga boleh menikmati roti jala dengan hidangan kuah yang lebih manis seperti serawa durian. Kepelbagaian cara hidangan ini bukan sahaja menjadikan ia enak, malah sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Oleh yang demikian, jom kita ikuti perkongsian resipi roti jala dan serawa durian yang dikongsi oleh @izyanmusamasak di laman Facebook miliknya.
Bahan-bahan serawa durian
- Durian
- Setengah biji gula Melaka
- Daun Pandan
- Santan pekat & cair
- Dua sudu gula
- Sedikit garam
Cara penyediaan
Mula-mula, masukkan durian, gula melaka, daun pandan, dan santan ke dalam periuk. Kemudian, baru buka api dan masak sehingga ia betul-betul mendidih.
Kalau anda rasa serawa anda kurang manis, anda boleh tambahkan gula. Kemudian, masukkan sedikit garam untuk beri rasa lemak. Kemudian, biarkan dan didihkan serawa anda sehingga ia betul-betul masak.
Serawa durian anda siap dihidang. Jika anda tidak gemar untuk makan serawa anda bersama roti jala, anda juga turut boleh nikmatinya bersama roti ataupun biskut.
Untuk mengetahui cara pembuatan roti jala pula, ikuti perkongsian di bawah ini.
BACA: Resipi Puding Pisang, Pencuci Mulut Manis & Berkrim Pelengkap Hidangan
Bahan-bahan roti jala
- Satu cawan tepung gandum
- Dua sudu besar minyak masak
- Satu sudu kecil garam
- Satu biji telur
- Dua cawan air/santan
- Sedikit perwarna kuning
Cara penyediaan
Campurkan kesemua bahan dan gaul sehingga sebati. Selepas itu, masukkan sedikit pewarna kuning untuk bangkitkan warna roti jala anda.
Untuk menjala roti tersebut, anda boleh gunakan botol acuan roti jala dan jala di atas kuali leper. Ulang proses menjala sehingga semua adunan habis. Roti jala anda kemudian siap untuk dihidang dan dinikmati bersama serawa durian.
Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lupa untuk cuba resipi ini di rumah. Untuk melihat cara penyediaan dengan lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini.
BACA: Resipi Donat Kentang, Juadah Istimewa Untuk Minum Petang
Sumber: @izyanmusamasak
The post Resipi Roti Jala & Serawa Durian, Gabungan Mantap Sesuai Untuk Majlis Keramaian appeared first on Siakap Keli.
