
Resolusi UNHRC Diluluskan, Gesa Israel Hentikan Penempatan Di Wilayah Palestin Yang Diduduki
Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan resolusi menggesa Israel menghentikan aktiviti penempatan di wilayah Palestin dan Bukit Golan Syria yang diduduki, termasuk di Baitulmaqdis Timur.
Resolusi tersebut telah diterima pakai dengan 34 negara yang menyokong, tiga menentang dan 10 berkecuali.
Menurut UNHRC, resolusi itu menuntut agar Israel segera menghentikan semua aktiviti penempatan tanpa sebarang prasyarat.
"Pada 31 Mac 2026, Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah menerima pakai draf resolusi A/HRC/61/L.36 (seperti dipinda secara lisan) berkenaan penempatan Israel," katanya.
Resolusi tersebut juga mengutuk aktiviti penempatan dan tindakan berkaitan yang berterusan oleh Israel, termasuk pemindahan rakyatnya ke wilayah yang diduduki, pembinaan dan peluasan penempatan.
Ia juga melibatkan tindakan perampasan tanah tanpa diisytihar secara rasmi, perobohan rumah dan infrastruktur komuniti, gangguan terhadap mata pencarian penduduk yang dilindungi, penyitaan dan pemusnahan harta termasuk bantuan kemanusiaan.

Mereka juga mengecam pemindahan paksa orang awam Palestin atau ancaman terhadapnya termasuk seluruh komuniti, serta pembinaan jalan pintasan yang mengubah ciri fizikal dan komposisi demografi wilayah yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan Bukit Golan Syria, yang merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Resolusi ini juga mengulangi permintaan kepada Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas mengenai Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel, seperti yang dimandatkan dalam resolusi Majlis 55/32 bertarikh 5 April 2024 dan 58/28 bertarikh 4 April 2025, untuk menyediakan laporan mengenai identiti peneroka, kumpulan peneroka serta ahli mereka yang terlibat atau terus terlibat dalam keganasan, ugutan, gangguan atau tindakan keganasan terhadap orang awam Palestin.
"Serta tindakan yang diambil oleh Israel sebagai kuasa pendudukan dan oleh negara ketiga bagi memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan meminta agar laporan tersebut dikemukakan pada sesi ke-67 Majlis," katanya.
Iran Desak Majlis Keselamatan PBB Kuat Kuasa Resolusi 487 Berhubung Serangan Nuklear Israel
Konflik Israel-Palestin: Datuk Bandar Israel Antara Yang Terbunuh
Selain itu, resolusi turut meminta Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB melaporkan pelaksanaan peruntukan resolusi ini kepada sesi ke-64 Majlis.
Antara negara yang menyokong resolusi itu ialah Brazil, Bulgaria, China, Indonesia, India, Iraq, Itali, Kuwait, Mexico dan Thailand.
Dalam pada itu, negara yang menentang pula ialah Ethiopia, Czechia dan North Macedonia.
